Malaysia Dateline

Masing dedah Pas, Bersatu tidak bertanding PRN-12 Sarawak

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr James Jemut Masing mendedahkan bahawa Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 nanti.

Malah, Perdana Menteri itu turut memaklumkan bahawa Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang turut bersetuju tidak bertanding memandangkan kedua-dua parti tersebut mempunyai cabang di negeri ini.

“Ini adalah petanda bahawa PRN-12 untuk Sarawak semakin hampir,” ujar beliau yang merujuk kepada pertemuan pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersama Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur semalam.

Menurutnya, jaminan yang diberi Pas dan Bersatu, bukan sahaja memberi jalan kepada GPS untuk berjuang menentang pembangkang tetapi ia juga petanda baik bahawa parti komponen PN menghormati komitmennya untuk membantu GPS pada pilihan raya kelak.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu menegaskan, GPS turut menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan memberi sokongan penuh kepadanya untuk menerajui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Selain Masing dan Abdul Hadi, pertemuan semalam melibatkan 12 pemimpin parti iaitu Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong; Presiden MIC, Tan Sri S Vigneswaran; Presiden PBB, Datuk Patinggi Abang Johari Openg dan Presiden SUPP, Prof Datuk Sri Dr. Sim Kui Hian.

Turut hadir Presiden PDP Datuk Seri Tiong King Sing; Presiden PBRS, Tan Sri Panglima Joseph Kurup dan Presiden STAR, Datuk Dr Jeffrey Kittingan; bekas pemimpin PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

PBB, SUPP, PDP dan PRS adalah sebahagian daripada gabungan GPS yang berpusat di Sarawak sementara UMNO, MCA, MIC dan PBRS adalah sebahagian daripada BN.