Malaysia Dateline

Mahasiswa biadab: MCA mahu Kementerian Pendidikan ambil tindakan bukan diam diri

Presiden MCA Wee Ka Siong kecewa dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dan Timbalannya, Teo Nie Ching mengambil sikap ‘mendiamkan diri’ dalam isu membabitkan seorang mahasiswa melakukan protes ketika dalam Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya ke-59 baru-baru ini.

Kata Ka Siong lagi sewajarnya kementerian mengambil tindakan tegas agar tindakan biadab seperti dilakukan Wong Yan Ke tidak berulang.

Tambah beliau, tindakan mendiamkan diri menunjukkan mereka berdua tidak sensitif kepada apa yang berlaku.

“Tetapi secara keseluruhannya, saya kecewa khususnya dengan Maszlee dan Teo Nie Ching, mereka patutnya bersuara dan perkara kini di bawah kementerian mereka. Sepatutnya mereka berdua tidak biarkan ini berlaku sehingga tidak terkawal.

“Sepatutnya kamu (Menteri Pendidikan) lebih sensitif terhadap semua perkara ini. Tidak boleh berdiam diri, kena ada tindakan segera dari kerajaan untuk berbincang dengan universiti,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.

Sehingga kini KPM masih belum mengeluarkan kenyataan tentang tindakan mahasiswa membuka plakad dan melaungkan: “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia” selepas mengambil skrol ijazahnya Isnin yang lalu.

Maszlee hanya menyuarakan pandangannya pada 8 Oktober lalu dengan berkata, Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) yang tidak berpuas hati dengan Naib Canselor universiti itu sepatutnya mengadakan perjumpaan empat mata.