Malaysia Dateline

Masjid Al-Aqsa di puncak kezaliman manusia, kata Hasanuddin

Naib Presiden AMANAH Ustaz Hasanuddin Mohd Yunus berkata, Masjid Al-Aqsa menjadi simbol ‘bumi jihad’ yang perlu dipertahankan sepanjang zaman kerana ia menjadi saksi kekejaman yang berlaku di bumi Palestin sejak 70 tahun lalu.

“Sesiapa yang berjihad mempertahankan masjid ini dia akan berada di garisan yang betul. Menjadi kewajiban umat Islam memerdekakan masjid ini, ” ujarnya dalam forum khas Baitulmaqdis yang diadakan di Masjid Putra, Putrajaya hari ini.

Ustaz Hasanuddin berkata, dalam konteks Malaysia, Masjid Al-Aqsa juga menjadi ‘simbol jihad’ apatah lagi kawasan sekitar masjid ketiga suci bagi umat¬† Islam itu turut menjadi tanah suci penganut Islam, Yahudi dan Kristian di bumi Palestin.

“Dalam konteks Malaysia kita berusaha menyatukan umat Islam di atas kalimah yang betul.

“Kita pertahankan bersama dengan anak-anak bangsa untuk berlatih hidup bersama. Jika kita memahami lebih lagi, apa yang berlaku di Masjid Al Aqsa adalah kemuncak kezaliman manusia.

“Kita kena belajar hidup berbilang bangsa di negara ini, kita kena melatih untuk menyatukan umat Islam dan memastikan nilai-nilai baik itu dipertahankan bersama dan perlu bekerjasama dengan lain-lain bangsa untuk berlatih hidup bersama,” ujarnya.

Justeru beliau mengajak umat Islam bersama memperjuangkan semua isu membabitkan kekejaman umat Islam di mana-mana di seluruh dunia.

“Jika kita dapati berlaku kezaliman kita atasinya bersama. Dalam demonstrasi sama yang dibuat minggu lepas, kita rakyat Malaysia berbilang bangsa turut bersama berdemonstrasi untuk Masjid¬†Al-Aqsa.

“Kita bergabung untuk memastikan tidak ada sebarang kezaliman yang akhirnya mungkin bertapak di negara kita ini kelak,” ujarnya.

Forum Khas Baitulmaqdis ini turut membariskan lima lagi panel terdiri daripada Setiusaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Pemuda Pas Khalil Abdul Hadi; Duta Palestin Dr Anwar; Pengerusi Yadim Dr Yusri Mohammad dan Dr Muhammad Faiz Na’aman.

Moderator adalah Pengerusi Majlis Dakwah Negara Prof Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi.

Ini adalah kali pertama forum diadakan membabitkan pimpinan semua parti politik demi memperjuangkan pembebasan Baitulmaqdis daripada kekejaman Israel yang didokong Amerika Syarikat (AS).

Ia susulan pengumuman AS mengalihkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis yang mendapat tentangan masyarakat dunia termasuk Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) yang tidak mengiktiraf tindakan AS itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka mengumumkan resolusi Malaysia berhubung isu itu dalam ucapannya selepas sembahyang Jumaat nanti.