Malaysia Dateline

Masjid Al-Syukri Kg Korongkom bantu 122 keluarga terjejas akibat Covid-19

Seramai 122 keluarga sekitar kariah Kampung Korongkom dan Kampung Kerongkom Laut yang terjejas akibat wabak Covid-19, menerima bantuan keperluan asas semalam.

Menurut Pengerusi Masjid Al-Syukri Kampung Korongkom, Kota Marudu, Ustaz Salleh Jatil, penyerahan bantuan itu berbentuk keperluan asas antaranya beras, gula dan minyak.

Katanya, sumbangan berkenaan melibatkan fasa satu iaitu seramai 42 keluarga, manakala fasa dua membabitkan 80 keluarga.

“Peruntukan melibatkan RM5,000 untuk membantu 122 keluarga terjejas adalah daripada tabung masjid dan juga peruntukan zakat.

“Pada awalnya Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri merangkap Menteri Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Aidi Mokhtar mengeluarkan arahan agar tabung masjid di kariah boleh digunakan untuk membantu ahli kariah yang terjejas akibat wabak Covid-19 termasuk yang bukan Islam.

“Penyerahan bantuan diketuai oleh saya sendiri dan turut disertai Timbalan Pengerusi Masjid, Imam Abdul Raip; Pengerusi MPKK Kampung Korongkom, Salim dan Pengerusi MPKK Kampung Korongkom Laut, Ajik Atou.

“Kerjasama penyelarasan agihan antara Jawatankuasa Masjid, Ketua Kampung, PMPKK dan NGO berjalan dengan sangat baik,” katanya kepada Malaysia Dateline.