Sebuah masjid terkemuka di Bangsar memecah tradisi biasa dalam kalangan umat Islam apabila menjemput seorang doktor berketurunan Sikh untuk menyampaikan ceramah dan berkongsi ilmu mengenai berhenti merokok, baru-baru ini.
Kebiasaannya, jawatankuasa masjid pasti akan menjemput ustaz dan pendakwah untuk memberi ceramah di dalam rumah ibadat umat Islam.
Namun kelainan yang dibawa Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq ini benar-benar membuka mata ramai umat Islam apabila masjid sebenarnya bukan sahaja tempat beribadat, bahkan tempat menyebarkan ilmu tidak kira dari individu beragama Islam mahupun tidak.
Apa yang penting, umat Islam perlu menunjukkan keterbukaan dalam menerima sesiapa pun ke rumah Allah, atas tujuan yang baik.
“Topik kuliah di masjid bukanlah sesuatu yang luar biasa dan selalunya bersandarkan kepada nilai agama. Ceramah oleh doktor Sikh ini mengingatkan saya kepada zaman kegemilangan Islam, di mana masjid juga dijadikan sebagai istana ilmu.
“Saya menggalakkan lebih banyak masjid melakukan perkara ini dengan menjemput lebih ramai pakar tanpa mengira agama mereka.
“Inilah cara kita boleh menarik orang ramai ke masjid sebagai tempat ibadat dan menuntut ilmu,” kata pengguna Twitter @saifyakhtar dengan klip video yang menunjukkan doktor dengan memakai serban merah menyampaikan syarahan kepada jemaah di masjid itu.
Video itu menjadi tular dengan lebih 66,000 tontonan dan terus bertambah.
Netizen memuji usaha masjid itu mendidik jemaahnya dengan menjemput seorang bukan Islam menyampaikan ceramahnya di situ.
“Hebat!!!! Kudos to both of them! Contoh yang baik untuk diikuti oleh semua masjid lain! Tq for sharing:)!,” kata pengguna Twitter @zymasri.
Baca juga: Dalam rumah Allah pun buat hal, sanggup tampal kod QR palsu di tabung masjid untuk tipu wang derma