Masjid bukan seputar soal kematian, nikah kahwin

Masjid bukan seputar soal kematian, nikah kahwin

Jumlah masjid yang berdaftar di seluruh Malaysia mencecah 6,324 buah dan di negeri Melaka sahaja berjumlah 178 buah masjid. Bahkan Melaka menerima jolokan negeri banyak masjid kerana mudahnya menjumpai masjid di sepanjang jalan-jalan di negeri Melaka.

Fungsi masjid telah ditunjukkan dengan jelas oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Peranan institusi masjid sejak ditubuhkan lebih terarah kepada perkara-perkara dasar seperti berkaitan hal-ehwal negara, membincangkan strategi peperangan, berperanan sebagai pusat komuniti, pusat ekonomi dan kebajikan, serta bertindak sebagai pusat penyatuan ummah yang unggul dan terbilang.

Kepimpinan masjid sejak diasaskan sehingga berakhir zaman kegemilangan Islam, telah dipimpin oleh generasi yang terbaik dan cemerlang pada zaman tersebut. Namun, setelah sekian lama, peranan dan fungsi masjid mengalami perubahan ketara.

Pada mata kasar, peranan masjid dan kepimpinannya hari ini kebanyakan hanya terlibat dengan aktiviti berkaitan hal ehwal kematian, nikah kahwin, mengetuai majlis bacaan doa, Yasin dan tahlil sahaja.

Masjid tidak lagi berperanan sebagai pusat pentadbiran yang membuat keputusan-keputusan dasar yang penting dan berimpak tinggi. Malah, bukan itu sahaja, fungsi-fungsi lain juga turut terhakis.

Pada zaman Rasulullah saw, masjid menjadi tempat golongan fakir miskin berteduh dan memohon bantuan, namun sekarang, peranan itu seakan-akan tiada.

Malah, masjid kini tidak lagi mesra terhadap golongan-golongan ini bahkan dilihat bersifat eksklusif kepada orang-orang tertentu.

Sekiranya perkara-perkara ini benar-benar terjadi, maka ia bercanggah dengan konsep masjid yang dibina dan diasaskan oleh Rasulullah saw.

Hari ini kita berbangga dengan jumlah kutipan masjid yang dipampang di papan kenyataan masjid. Tetapi sejauh mana hasil tabung masjid itu benar-benar dimanfaatkan kembali kepada ummah khususnya golongan yang memerlukan dari kalangan fakir, miskin dan gelandangan.

Kita melenting apabila ada dalam kalangan umat Islam yang yang susah pergi memohon dan menerima bantuan dari rumah ibadat agama lain, tetapi dalam masa sama kita tidak cuba membantu menyelesaikan masalah yang sedang membelenggu masyarakat ini.

Sudah tiba masanya fungsi masjid dikembalikan sebagai pusat kegiatan sosial yang berperanan sebagai tempat memberi bantuan kepada fakir miskin, gelandangan, orang yang dalam kesempitan dan lain-lain melalui sumbangam seperti wang ringgit dan bantuan makanan.

Masjid seharusnya disesuaikan keperluannya untuk mengihsani seluruh lapisan masyarakat, baik dewasa, kanak-kanak, tua, muda, lelaki, wanita, yang terpelajar mahupun tidak, sihat atau sakit, serta yang kaya atau yang miskin.

Kita amat mendambakan terbinanya sebuah institusi masjid yang benar-benar dapat mengembalikan kegemilangan dan kecemerlangan umat di mata dunia pada hari ini.

Andai penghayatan matlamat rumah Allah dan masjid seperti ini dapat direalisasikan, kepelbagaian fungsi masjid akan pasti terserlah sebagaimana yang berlaku di zaman Nabi saw.

Manifestasi pemerintahan akan terlaksana di dalam masjid, baik pada peribadi pemimpin pemerintahan yang menjadi imam atau khatib, mahupun pada diri masyarakat yang datang mengunjunginya.

Sama ada daripada kalangan Muslimin yang datang atas urusan ibadah mahupun ehwal pentadbiran dan kemasyarakatan, begitu juga daripada kalangan bukan Islam yang datang dengan urusan ehwal masyarakat, agama dan kehidupan mereka.

Kembalikan peranan masjid sebagai pusat kegiatan sosial ummah. Bukalah masjid seluas-luasnya kepada golongan yang memerlukan.

Permudahkan golongan yang datang memohon bantuan. Kosongkanlah tabung masjid dengan mengembalikan sumbangan orang ramai kepada masyarakat yang memerlukan.

* Penulis merupakan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka juga Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam.