Masjid bukan tempat kepentingan puak, politik kepartian

Masjid bukan tempat kepentingan puak, politik kepartian
Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menyampaikan uniform kepada salah seorang pendokong gerakan masjid di Masjid Simpang Empat Permatang Buloh, Kepala Batas, kelmarin.

Semua penyelaras masjid daerah diingatkan supaya menjadi pemerhati dengan memantau masjid-masjid agar ia menjadi tempat untuk semua umat Islam tanpa menjadikannya sebagai tempat untuk berpuak atau pun kepentingan politik mana-mana pihak

Demikian ingatan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Rahmah di Simpang Empat Permatang Buloh, Kepala Batas, kelmarin.

Jelasnya lagi, semua mimbar masjid harus bersih dari kebencian, kepartian dan puak.

“Selain dari mimbar masjid, meja kuliah juga harus dipantau agar ia benar-benar bersih dari menjadi tempat untuk menyeru kebencian serta unsur-unsur sempit yang memecahbelahkan masyarakat.

“Tugas dan tanggungjawab penyelaras masjid daerah adalah memantau dan memastikan tiada unsur-unsur kebencian melalui mimbar dan meja kuliah masjid-masjid.

“Semua pengerusi kariah mesti pastikan masjid sebagai Masjid Rahmah yang aman, harmoni, hormat-menghormati dan juga jauh dari unsur-unsur politik, ” ujarnya lagi.

Kata beliau, masjid perlu menjadi tempat untuk mengajar masyarakat untuk mengenali Islam dan kerahmatan yang ada padanya.

“Sehubungan itu adalah diingatkan supaya masjid tidak dijadikan sebagai tempat untuk berpolitik dan menyeru kepada perpecahan dan permusuhan.

“Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kedudukan masjid untuk politik kepartian dan menyeru kepada kebencian.

“Semua mimbar masjid harus bersih dan sepatutnya ia dimakmurkan, ” tegasnya lagi.

Sejajar dengan itu kata Mujahid, kerajaan PH kini telah meningkatkan jumlah peruntukan bagi memantapkan pentadbiran Islam daripada RM1.1 bilion pada tahun 2018 kepada RM1.2 bilion bagi tahun ini.

“Peruntukan bagi memakmurkan masjid seluruh negara turut disalurkan sebanyak RM150 juta.

“Manakala bagi keperluan Institusi Tahfiz dan juga Sekolah Agama Rakyat sebanyak RM50 juta telah pun diperuntukan.

“Untuk Institusi Pondok seluruh negara kerajaan turut memperuntukan sejumlah RM25 juta, ” tambah beliau lagi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya serta Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang, Zulkifli Long.