Malaysia Dateline

Masjid di Kedah diminta adakan tahlil khas untuk Muhammad Adib

Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah menitahkan supaya semua masjid di negeri ini mengadakan majlis tahlil khas untuk Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, selepas solat Maghrib malam ini.

Setiausaha Sulit baginda, Kol (K) Datuk Elmi Yusoff ketika dihubungi Bernama berkata majlis tahlil khas itu sebagai penghormatan terhadap anggota bomba berkenaan.

“Ya, Tuanku ada bertitah supaya majlis tahlil ini dibuat selepas solat Maghrib malam ini,” katanya.

Jenazah Muhammad Adib, 24, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini, kira-kira 1.45 tengah hari tadi.

Muhammad Adib yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 9.41 malam tadi, selepas cedera parah dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lepas.

— BERNAMA