Malaysia Dateline

Masjid Hegia Sophia: kebangkitan geo-politik baharu Turki

ISMAIL HASHIM YAHAYA

Banyak berita yang disiarkan mengenai tindakan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang mengumumkan penukaran Hagia Sophia menjadi masjid setelah mahkamah Turki membatalkan status muzium di tapak tersebut.

Mungkin kerana isu-isu politik yang merendam dalam laporan berita di media di negara ini menyebabkan isu Hagia Sofea dipandang sepi.

Ini berikutan Majlis Negara membatalkan keputusan Majlis Menteri bertarikh 24 November 1934 mengenai penukaran Hagia Sophia dari sebuah masjid ke sebuah muzium pada 10 Julai, dan kemudian, dengan keputusan Presiden, Masjid Hagia Sophia dipindahkan ke Presidensi Urusan Agama.

Meski ramai pengulas menilai tindakan ini dari aspek Islam, namun jika diamati langkah Erdogan lebih banyak didorongi oleh faktor politik daripada keagamaan. Ia sebagai usaha Erdogan untuk menang dalam pilihan raya Turki.

ERDOGAN

Kekalahan AKP di Istanbul dan Ankara adalah tanda bahawa parti tersebut telah mengalami kemerosotan daripada sokongan rakyat. Satu lagi isu ialah Erdogan mungkin harus berhenti memenjarakan para intelektual pembangkang dan mengembalikan kebebasan menyatakan pendapat. Dalam hal ini mereka harus mendengar suara rakyat mereka sendiri.

Faktor-faktor ini mungkin menjadi antara tindakan Hagia Sophia harus dikembalikan menjadi masjid.

Langkah yang diambil Erdoğan cenderung bertindak sebagai lonjakan sokongan nasional pada ketika Turki berada dalam keadaan politik, kedudukan fiskal dan ekonomi yang mencabar.

Ekonomi Turki menderita daripada pandemik Covid-19. Turki pula sedang bergelut dengan kemelut di Syria, ia berhadapan dengan masalah di Kurdis, kini sedang berhadapan dengan campur tangan berisiko tinggi di Libya dan keadaan tidak stabil di bahagian timur Mediteranian.

Dalam agenda Erdogan, menukarkan Hagia Sophia kembali ke masjid adalah suatu kemenangan kepada Turki dan merupakan sumber keagungan Turki, seolah-olah mengembalikan daulah Turki Uthmaniah ketika dalam kemelaratan sekarang. Ia boleh membawa sokongan padu rakyat Turki kepada AKP.

Oleh itu elemen penting yang dipertimbangkan berhubungan dengan isu Hagia Sophia ialah kedaulatan. Turki tidak memerlukan sebuah masjid yang baharu. Ia sudah mempunyai banyak masjid dengan sejarah tersendiri.

Setahun lalu, Erdogan telah merasmikan Masjid Camlica di wilayah Asianya, kompleks yang boleh memuatkan lebih 60,000 jamaah untuk bersolat pada setiap hari.

Secara rasminya solat telah berlansung di muzium setelah mendapat perintah mahkamah.

Tambahan pula isu Hagia Sophia bukanlah terbatas kepada isu Islam atau agama, ia juga dipandang dari geo-politik politik antarabangsa di mana Turki akan menjadi sebagai saingan kepada hegemoni Arab Saudi sebagai pusat tumpuan ibadah.

BAHAGIAN DALAM HEGIA SOPHIA YANG MENGGABUNGKAN CIRI-CIRI KRISTIAN DAN ISLAM MASIH DIKEKALKAN.

Negara Barat banyak mengkritik dan menyatakan kesedihan di atas penukaran Hagia Sofea daripada muzium ke masjid.

Tetapi Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata mengembalikan status Muzium Hagia Sophia sebagai sebuah masjid adalah soal kedaulatan Turki dan reaksi daripada pemimpin negara dunia yang sengaja menimbulkan krisis antarabangsa sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Rusia yang merupakan kuasa besar dan rakan sekutu Turki lebih memahami tindakan Erdogan itu apabila Timbalan Menteri Luar Negeri Rusia Sergey Vershinin berkata keputusan membuka masjid untuk beribadat di Hagia Sophia adalah “Urusan dalaman Turki sendiri,” dia mengatakan bahawa negaranya atau negeri-negeri lain tidak boleh ikut campur.

Dalam kenyataannya kepada wartawan, Vershinin menilai keputusan membuka Hagia Sophia untuk beribadah sebagai masjid.

“Ini kerana kita bergerak dalam urusan dalaman Turki. Sememangnya, kita atau orang lain tidak seharusnya ikut campur,” dalam ungkapan yang digunakan.

Kenapa negara Barat mengkritik tindakan Erdogan bukan disebabkan sesetengah negara Barat masih dibelenggu dengan elemen Islamofobia sahaja sebagaimana dinyatakan oleh Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Tetapi protes mereka kerana Turki akan menjadi tumpuan geo-politik baharu menggantikan Arab Saudi, Mesir atau negara-negara Teluk lain.

Di samping itu mengapa negara Barat tidak bersuara apabila pihak Zionis yang merancang untuk merampas dan merobohkan masjid Al-Aqsa yang dahulunya menjadi kiblat pertama (arah solat) bagi umat Islam.

Bagaimanakah pula dengan ribuan masjid Islam yang dimusnahkan dan dirampas di Sepanyol, termasuk di Cordoba dan tempat lain seperti masjid Babri di India.

Hagia Sophia adalah simbol penting yang utama bagi pemersatu Turki dan rantau sekitarnya. Bagi kerajaan AKP pimpinan Erdogan, menuntut kembali Hagia Sophia daripada muzium kepada masjid adalah hak kedaulatan Turki.

UMAT ISLAM MULA SEMBAHYANG DI HEGIA SOPHIA.

Perdebatannya bukanlah sekitar hegemoni Islam lawan Kristian, hakikatnya Hagia Sophia adalah pembuktian hegemoni Turki ke dunia Islam. Transformasi muzium ke masjid merupakan kelahiran geo-politik baharu dunia Islam, impian yang dicetuskan melalui KL Summit walaupun tidak dizahirkan secara terbuka demi menjaga hati Arab Saudi.

Lebih menarik lagi bulan perisytiharan tersebut bersamaan dengan cubaan rampasan kuasa ke atas kerajaan Erdogan setahun yang lalu. Adakah ia satu kebetulan?

Konflik Hagia Sophia bukankah sesuatu yang baharu. Kalangan pihak keagamaan dan konservatif di Turki telah lama menentang penukaran kepada sebuah muzium tidak lama selepas ia dibuka pada 1935. Ia mengambil masa yang lama untuk isu dileraikan.

Desakan supaya Hagia Sophia kembali menjadi masjid mendapat sokongan meluas daripada golongan wartawan agama dan konservatif. Ini juga di atas kecenderungan pengerusi Parti Keadilan Suleyman Demirel. Kecenderungan yang meningkat telah membawa perubahan dalam dasar luar Turki dengan hubungan semakin mantap dengan negara-negara Arab pada 1960-an.

Era tersebut telah mencetuskan perbincangan meluas kalangan masyarakat Turki berhubung dengan status Hagia Sophia kerana konflik Turki-Greek yang timbul semasa itu. Mereka mendesak kepada pemulangan Ketedral kepada status masjid dan mencetuskan seolah-olah musuh Hellenic di Cyprus. Sehingga sekarang, hubungan Turki dan Cyprus masih tegang ditanggapi oleh konflik silam Hagia Sophia.

Seperti Masjid Hagia Sophia yang merupakan simbol keagamaan bagi umat Islam Turki, Katedral Hagia Sophia juga menyimpan khazanah bermakna bagi Kristian Greek Ortodoks. Ia bersandarkan kepada pemerintahan empayar Romawi timur.

Pada 11 Julai lepas, Erdoğan menghantar ciapan video di Twitter dengan memberikan pandangan bahawa kebangkitan semula Hagia Sophia sebagai sebuah masjid amat bermakna kepada dunia Islam dari Bukhara ke Andalusia dan analog kepada pembebasan Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis.

Jika diambil kira elemen keagamaan ia dikaitkan secara langsung dengan wacana budaya Islam dan Kristian di Turki. Namun kepada warga Turki yang tidak menyokong Erodan, ia dianggap sebagai penghinaan kepada legasi sekular Kamal Ataturk.
——————-
Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)