Malaysia Dateline

Masjid ‘terapung’ muncul di ibu negara

Air melimpahi tebing sungai sehingga mencecah kaki tangga masjid lewat petang tadi.

Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur seolah-olah ‘terapung’ menjelang Maghrib tadi akibat banjir kilat selepas ibu negara dilanda hujan lebat lebih dua jam.

Masjid yang terletak di pertemuan Sungai Gombak dan Sungai Kelang itu dikelilingi air banjir yang melimpahi tebing sehingga mencecah kaki tangga masjid.

Seorang imam bertugas menerusi siaran langsung di Facebook Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur memberitahu arus di kedua-dua sungai itu bagaimanapun semakin surut menjelang jam 7 petang tadi.

“Sama-sama kita mengimarahkan masjid sebab sejak PKP masjid susah penuh.

“Saya berharap ada jemaah yang terperangkap boleh berada di dalam masjid dahulu memandangkan hujan masih lebat,” katanya.

Kawasan masjid berusia 111 tahun yang menjadi mercu tanda Kuala Lumpur itu antara lokasi yang dinaiki air akibat limpahan Sungai Gombak dan Sungai Kelang.

Jurucakap Bahagian Operasi Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataannya berkata, air naik setinggi 1.5 meter di Lebuh Ampang.

Selain itu, banjir kilat setinggi satu meter turut dilaporkan berlaku di Jalan Raja Alang, Kampung Baru dan Jalan Gurney Kiri Off Jalan Semarak.

Turut terjejas termasuk Lorong Ayer Leleh 5 dan Jalan San Ah Wing. Beberapa kenderaan ditenggelami air dan tidak boleh dilalui kenderaan ringan.

Sementara itu, terowong Lebuhraya SMART ditutup kepada orang ramai sejak jam 4 petang.

Sistem banjir diaktifkan untuk pelepasan air banjir ke dalam sistem terowong lebuhraya tersebut.

Imam bertugas menunjukkan paras air Sungai Gombak yang mulai surut menjelang Maghrib tadi.