Malaysia Dateline

Maslan, Adham ibarat langit dengan bumi

Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus menyifatkan dua pemimpin Umno memiliki keupayaan berhujah yang jauh berbeza.

Naib Presiden AMANAH itu membandingkan kebolehan tersebut antara Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dengan Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Seri Dr Adham Baba.

“Walaupun berbeza (parti) dengan saya, Datuk Seri Ahmad Maslan apabila berhujah di Parlimen selalu berfakta dan ada statistik.

“Langit dan bumi dengan Menteri Kesihatan,” katanya di Facebook beliau merujuk jawatan yang disandang Adham.

Ahmad Maslan yang juga bekas Timbalan Menteri Kewangan ketika kerajaan diterajui BN merupakan Setiausaha Agung Umno menggantikan Tan Sri Annuar Musa mulai 12 Mac lalu.

Adham yang menyandang jawatan Ketua Penerangan Umno Negeri Johor mempunyai klinik di beberapa rangkaian sekitar negeri itu.

Beliau antara 14 pemimpin Umno yang dilantik pada 9 Mac lalu sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kabinet yang dianggap ‘kerajaan pintu belakang’ atau ‘tebuk atap’.

Pada 19 Mac lalu, Adham dalam program bual bicara di TV1 mengenai Covid-19 mengundang kecaman awam juga pengamal perubatan apabila menyarankan agar orang ramai minum air suam sebagai salah satu cara untuk mencegah jangkitan virus berbahaya itu.

Selepas menerima sindiran orang ramai ekoran saranan itu, Adham tidak lagi muncul dalam sidang media harian Kementerian Kesihatan sebaliknya digantikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.