Masuk kedai berkumpulan taktik beli lebih banyak minyak masak paket

Oleh NASUHA RAHMAN

Pelbagai taktik orang ramai telah dikesan iaitu masuk kedai runcit secara berkumpulan bagi mendapatkan lebih banyak minyak masak paket

Memandangkan minyak masak paket satu kilo sahaja yang kekal dengan harga RM2.50 kebanyakkan kedai runcit menghadkan pembeliannya iaitu dua paket setiap pelanggan.

Ada sesetengah pelanggan menggunakan taktik licik masuk ke kedai runcit secara berasingan semata-mata untuk mendapatkan minyak masak peket melebihi kuantiti ditetapkan.

Seorang Peniaga, Fatihah Amirullah, 26, berkata ekoran permintaan tinggi terhadap minyak masak bersubsidi itu, dia terpaksa mengehadkan pembelianhanya dua paket bagi setiap pelanggan.

Pembelian minyak masak paket terpaksa dihadkan

Meskipun begitu, dia mendapati ada pelanggan yang cuba menggunakan taktik datang secara berkumpulan untuk mendapatkan lebih banyak bekalan minyak masak berkenaan.

Antara ‘modus operandi’ digunakan ialah selepas seorang membawa keluar bahan memasak itu, seorang lagi masuk untuk mendapatkannya, sekali gus menjadikan mereka berjaya memperoleh lebih daripada dua minyak berkenaan.

“Saya perlu memberikan peluang kepada lebih ramai pelanggan untuk mendapatkan minyak itu, terutama apabila harga minyak masak botol semakin meningkat.

“Bukannya saya tidak tahu ada pelanggan yang dalam satu keluarga datang seorang demi seorang untuk mendapatkan dua paket minyak masak peket tetapi saya tiada kuasa untuk tidak menjualnya kerana mereka menafikan datang dalam kumpulan,” katanya di kedai runcitnya di pekan Lendu baru-baru ini.

Beliau berkata, jika pelanggan membeli pelbagai barangan lain, mereka diberikan peluang mendapatkan tiga minyak masak berpaket.

Bagaimanapun, ada dalam kalangan pelanggan berhati mulia hanya mendapatkan dua paket dengan alasan peluang harus diberikan kepada pelanggan lain berikutan kesukaran untuk mendapatkannya sekarang.

Katanya, minyak masak berkenaan laris bagaikan pisang goreng panas dan lazimnya kebanyakan pelanggan adalah peniaga makanan yang amat memerlukannya.

Mengenai penjualan minyak masak botol, Fatihah berkata, setakat ini belum ada pelanggan mendapatkannya dalam jumlah yang banyak meskipun menyedari subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram (kg) akan dimansuhkan mulai 1 Julai ini.

Baca juga: Tanda pagar #Proi5 berlegar di Twitter di tengah-tengah kenaikan harga barang, warganet dakwa ‘cytro’ upahan Ismail?

Baca juga: Wanita serang majlis perkahwinan bekas kekasih, kecewa hubungan tak direstui dua keluarga