Malaysia Dateline

Masuk mahkamah sebab nak curi motosikal berkuasa tinggi milik hakim berharga lebih RM80,000

Dua remaja di London didakwa cuba mencuri sebuah motosikal berkuasa tinggi milik seorang hakim mahkamah yang diparkir di luar mahkamah.

Dalam kejadian itu, dua remaja dikatakan memasuki perkarangan mahkamah dan cuba melarikan motosikal BMW bernilai 15,000 pound (RM80,949) dari Snaresbrook Crown Court di timur laut London ketika kejadian pada April 2021.

Lapor AFP, kejadian tersebut didalangi Deon-Dre Rogers-Barrett, 19, dan rakan sejenayahnya, Shay Hollis, 18, serta seorang lagi suspek yang tidak dikenal pasti.

Bagaimanapun perbuatan mereka terbongkar selepas pengawal keselamatan menyedari hal itu.

“Dia juga cuba mengancam seorang pengawal keselamatan yang mahu menghalang tindakannya dengan parang.

“Tetapi, Rogers-Barrett dan Hollis terperangkap setelah pagar premis tersebut ditutup pihak berkuasa,” ujar jurucakap polis, Ian Croxford memetik AFP.

Kedua-dua tertuduh kemudiannya bertindak mencampakkan motosikal tersebut hingga menyebabkan kerugian mencecah ribuan pound sebelum melarikan diri.

Duo itu bagaimanapun berjaya dijejaki pihak berkuasa dan membawa kepada penahanan mereka.

Barret dijatuhkan hukuman penjara 21 bulan, manakala Hollis dijatuhi hukuman perintah penyeliaan selama 18 bulan dan melakukan kerja tanpa gaji selama 12 jam selain diarahkan membayar pampasan berjumlah 500 pound (RM2,698) kepada mangsa.

“Kedua-duanya jelas biadab kerana nekad melakukan tindakan berani mati seperti itu, lebih-lebih lagi ia dilakukan di pekarangan mahkamah,” kata Croxford lagi.

Baca juga: ‘Harga barang naik menggila, gaji tak naik-naik’

Baca juga: ‘Tu kalau mengantuk boleh buat bantal’ – Netizen terhibur bapa beli span besar suruh anak berjimat