Malaysia Dateline

Masuk pejabat walaupun MC sebulan

Walaupun diberi cuti sakit sebulan bermula 1 Feb selepas menjalani pembedahan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memilih untuk kembali bertugas.

Mohamed Azmin berkata beliau perlu mengetahui apa yang berlaku di lapangan selain berjumpa pihak berkuasa di negeri-negeri untuk menyelesaikan masalah rakyat.

“Semalam pun saya ke pejabat untuk menyelesaikan tugasan yang mendesak manakala pagi tadi saya berjumpa doktor untuk pemeriksaan susulan. Alhamdulillah doktor berpuas hati.

“Doktor, bagaimanapun tidak gembira apabila mengetahui pergerakan saya hari ini menerusi media sosial dan memberi peringatan kepada saya,” kata Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat itu selepas merasmikan majlis melibatkan Srikandi Keadilan di Subang Jaya semalam.

Beliau juga bersyukur kerana pembedahannya berlangsung dengan baik, dan sambil bergurau berkata beliau bukan sahaja telah sihat malah kehilangan 10 kilogram berat badan selepas pembedahan itu.

Mohamed Azmin, bagaimanapun berkata beliau akan melakukan tugasan mengikut tahap kesihatannya dan nasihat doktor.

Beliau sebelum ini dilaporkan menjalani pembedahan membuang batu dalam hempedu di sebuah hospital di sini.

— BERNAMA