Masuk sekolah: Maszlee masih bawa pemikiran lama, taksub politik

Masuk sekolah:  Maszlee masih bawa pemikiran lama, taksub politik

Che Abdullah Mat Nawi

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dianggap masih membawa pemikiran lama bahkan lebih teruk daripada kerajaan terdahulu apabila mengarahkan Ahli Parlimen pembangkang perlu mendapatkan kebenaran untuk menghadiri sebarang program di sekolah kerajaan.

Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi, berkata pemikiran itu amat merugikan dan rakyat rasa tertipu kerana masih tiada perubahan dibuat seperti dijanjikan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) walaupun mandat sudah diberi.

“Semua rakyat berjiwa merdeka mahu kepada perubahan. Saya yakin ramai dalam kalangan Menteri masih berhasrat mengadakan reformasi serta perubahan dalam masyarakat, namun ada beberapa Menteri yang sudah berada dalam kerajaan baharu, tapi pemikirannya masih lama.

“Pemikiran ini sangat merugikan rakyat kerana pemimpin sepatutnya boleh memberi motivasi, mendorong pelajar ke arah kebaikan, nasihat serta dokongan, namun dihalang daripada memasuki ke sekolah.

“Kita bukan mahu masuk (ke sekolah) membawa bendera Pas, tapi mahu beri motivasi, peruntukan dan mungkin hadiah kepada pelajar. Keadaan sama berlaku kepada Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang dihalang memasuki ke sekolah ketika waktu dulu untuk memberi motivasi serta doa,” katanya seperti dilapor Bharianonline hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Maszlee berhubung Ahli Parlimen pembangkang yang berhasrat masuk ke sekolah milik kerajaan untuk menghadiri sebarang program perlu mendapatkan kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Maszlee dilaporkan berkata, pekeliling juga sudah dikeluarkan bahawa permohonan perlu dibuat kepada kementerian melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) jika wakil rakyat terbabit berhasrat berbuat demikian.

Datuk Zawawi Othman

Taksub politik

Loading...

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno Kelantan, Datuk Zawawi Othman, berkata Maszlee disifatkan mempunyai niat buruk dan terlalu taksub dengan politik sehingga bersikap diskriminasi terhadap Ahli Parlimen pembangkang.

Katanya, sebagai seorang Menteri Pendidikan perlu menumpukan prasarana dan dasar, bukannya bersikap mementingkan diri kerana dalam dunia politik ada turun dan naik.

“Saya faham jika program yang dijalankan di sekolah itu berunsur politik, tapi bagaimana jika majlis akademik kerana ramai di kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang dilantik sebagai Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) pada Mac lalu.

“Adakah mereka tidak dibenarkan menghadiri program di sekolah? Seorang Menteri tidak boleh bersikap keterlaluan dalam sesuatu perkara kerana akan diikuti pemimpin bawahan, dan akhirnya akan menyebabkan huru-hara pada masa akan datang,” katanya.