Masuk sekolah: PH harus beretika,bermoral tanpa menindas wakil rakyat pembangkang

Masuk sekolah: PH harus beretika,bermoral tanpa menindas wakil rakyat pembangkang

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu meneruskan tindakan yang mempunyai etika dan moral yang tinggi tanpa mengamalkan amalan-amalan yang menindas dan menekan sebagaimana dilakukan oleh kerajaan BN terdahulu.

“Kita mesti mempercayai semua wakil rakyat tanpa mengira parti – untuk bertindak secara bertanggungjawab apabila terlibat dengan perbincangan awam. Mereka telah mendapat kepercayaan dari pengundi mereka.

“Tindakan tentu boleh diambil jika mana-mana wakil rakyat menyalahgunakan platform ini, seperti dengan menghasut kebencian kaum atau agama atau menyebarkan dakyah kepartian.

“Tetapi dalam kebanyakan kes – ahli politik harus dibenarkan masuk ke sekolah, kolej dan universiti apabila mereka dijemput untuk berbuat demikian.

“Saya tidak faham mengapa isu seperti ini masih timbul di Malaysia Baharu.

“Pakatan Harapan mestilah berbeza. Kita mesti melakukan lebih baik dalam hal ini dan semua perkara,” ujarnya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai pendirian Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik yang menyatakan ahli politik pembangkang wajib meminta kebenaran dari Kementeriannya melalui Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri yang berkaitan sebelum mereka boleh memasuki sekolah kerajaan.

Kata Nik Nazmi lagi, mana-mana Ahli Parlimen, Adun dan Ahli Majlis Kerajaan tempatan sering dijemput ke institusi seperti itu.

“Sekolah adalah tempat penting dalam kehidupan sivik di negara kita.

“Mengharamkan pihak pembangkang dari sekolah dan institusi pengajian lain adalah salah satu penyalahgunaan kuasa yang paling buruk di bawah pemerintahan Barisan Nasional sebelumnya.

“Ramai pimpinan Pakatan Harapan termasuk saya sendiri – menjadi mangsa.

“Walaupun berkhidmat sebagai Exco Pendidikan Selangor dari 2014-2018, saya sentiasa dihalang daripada melawat sekolah-sekolah di sana.

“Saya juga dihalang daripada bercakap di alma mater saya, Kolej Yayasan UEM – kerana tekanan politik ke atas pentadbiran kolej.

“Saya masih ingat – saya terpaksa berpura-pura menjadi mahasiswa – termasuk masuk ke kampus menggunakan motosikal bagi memenuhi jemputan di Universiti Malaya,” ujarnya menceritakan pengalaman ketika berada dalam blok pembangkang ketika kerajaan BN memerintah.