Malaysia Dateline

Masyarakat digalak jadi penderma sel stem darah, kata Menteri Kesihatan

Masyarakat di negara ini digalakkan menjadi penderma sel stem darah dalam usaha membantu pesakit antaranya penghidap leukemia dan limfoma untuk sembuh, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pihaknya dalam usaha meningkatkan kesedaran umum mengenai pemindahan sel stem darah kerana tahap kesedaran masyarakat untuk menderma kini belum memuaskan.

“Kita harap tahap kesedaran umum dapat ditingkatkan supaya mereka menjadi penderma bagi menyelamatkan nyawa pesakit lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan 20 Tahun Perkhidmatan Pemindahan Sel Stem Darah di Hospital Ampang dan Sambutan ‘World Marrow Donor Day’ 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Perkhidmatan Hematologi Kebangsaan Dr Jameela Sathar dan Pengarah Hospital Ampang Dr Ghazali Abd Manaf.

Dr Dzulkefly berkata melalui program yang bertemakan ‘Be the match, Be a donor’ itu, tahap kesedaran masyarakat mengenai menderma sel stem darah dapat ditingkatkan.

Setakat ini, Hospital Ampang telah melakukan lebih 2,000 pemindahan sel stem darah antaranya melibatkan penderma alternatif sama ada daripada penderma tanpa tali persaudaraan dan saudara pesakit, katanya.

Sementara itu, Dr Jameela berkata prosedur pemindahan sel stem sememangnya rumit, bagaimanapun negara sudah mencapai tahap antarabangsa dalam melaksanakan perkhidmatan itu.

“Kami mengharapkan lebih ramai penderma tampil supaya lebih banyak nyawa dapat diselamatkan…ini sangat penting kerana penyakit leukimia dan limfoma ancam nyawa… mereka yang gagal dengan rawatan kimoterapi harapan terakhir adalah dengan pemindahan sum-sum tulang,” katanya.

Sel stem boleh diperolehi daripada salur darah, sum sum tulang atau darah daripada tali pusat bayi yang baru dilahirkan.

Sel-sel itu boleh menghasilkan pelbagai jenis komponen darah yang diperlukan untuk merawat pesakit. — BERNAMA