Malaysia Dateline

Maszlee fail saman terhadap Asyraf dan tuntut permohonan maaf secara terbuka

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik akan memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi susulan dakwaannya bahawa Pakatan Harapan (PH) cuba mengagungkan pengkhianat komunis sebagai pejuang kemerdekaan di dalam buku teks Sejarah tingkatan empat.

Maszlee menerusi satu siri Twitternya hari ini berkata, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar surat tuntutan kepada Asyraf atas kenyataan fitnah yang dikeluarkan.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu juga menuntut Asyraf membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Saya memberi arahan kepada peguam supaya surat tersebut menuntut Dr Asyraf Wajdi membuat permohonan maaf secara terbuka dan membayar pampasan kerana memfitnah.

“Budaya politik fitnah jahat ini perlu dihentikan kerana ia sedikit pun tidak menguntungkan rakyat.

“Sepatutnya sekarang ahli politik perlu fokus bantu rakyat dan memulakan budaya politik khidmat, bukan mencari salah, menuduh dan menfitnah sesuka hati,” katanya

Terdahulu, Asyraf mendakwa Maszlee cuba memanipulasi fakta sejarah dalam buku teks tingkatan empat semasa pentadbiran PH selama 22 bulan.

Dakwaan itu disangkal Maszlee yang menjelaskan bahawa Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi tingkatan empat telah diperkenalkan pada tahun 2017 lagi yang ketika itu Menteri Pendidikannya dari parti Umno sendiri.

Beliau juga menasihatkan Asyraf untuk bertanya sendiri kepada menteri pendidikan Umno waktu itu sebelum mengeluarkan tuduhan melulu tanpa usul periksa.

Dalam pada itu Maszlee menerusi ciapannya berkata, tindakannya memfailkan saman itu diharap dapat menyedarkan semua pihak tidak kira parti, agar budaya fitnah jahat berunsur perkauman segera dihentikan.