Malaysia Dateline

Maszlee gesa Tommy lulus permohonan Fakulti Syariah dan Undang-Undang USIM

Lembaga Kelayakan Profesion Undang-undang Malaysia (LKPUM) digesa meluluskan permohonan pengecualian menduduki peperiksaan Sijil Amalan Guaman (PSAG) bagi pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, beliau dimaklumkan bahawa Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) USIM telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan oleh pihak LKPUM.

Namun, katanya, LKPUM yang bersidang pada awal bulan lalu, tidak membincangkan permohonan USIM itu.

“Lawatan pihak LPQB pada tahun 2017 telah meminta pihak FSU, USIM untuk mengadakan kursus tambahan selama enam (6) bulan bagi empat (4) kursus kepada pelajar-pelajar yang bergraduasi pada tahun 2017.

“Masalah timbul, kerana sehingga kini pihak LPQB masih belum memutuskan tarikh kursus tambahan berkenaan perlu bermula,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, Peguam Negara, Tommy Thomas merupakan Pengerusi LKPUM.

Sehubungan itu, Maszlee berkata, LKPUM perlu memberi keutamaan dalam perkara itu kerana USIM sudah menunggu lama dan telah menyediakan dokumen lengkap bersama-sama modul cadangan untuk mempercepat proses berkaitan.

“Saya memohon untuk pihak LKPUM segera melihat isu membabitkan USIM ini dan memberikan kelulusan sewajarnya bagi membolehkan pelajar-pelajar berkenaan dapat mengikuti pengajian dengan teratur,” jelasnya lagi.

Difahamkan hampir 10 tahun Fakulti Undang-Undang dan Syariah USIM memohon pengiktirafan pengecualian menduduki PSAG tetapi tiada sebarang maklum balas bagi permohonan tersebut.

Bagaimanapun, LKPUM mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sekolah menengah persendirian Cina sebagai setaraf dengan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan A-Levels yang kemudiannya mengundang reaksi gembira Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Pemimpin DAP berkenaan turut mengucapkan tahniah secara khusus kepada Tommy menerusi kenyataan yang ditulis dalam bahasa Mandarin dalam akaun Facebook rasminya pada 30 Mac lalu.

Maszlee pula keesokan harinya memberitahu pengiktirafan UEC untuk diterima sebagai memenuhi syarat bagi tujuan menduduki peperiksaan PSAG itu bukan dilakukan di bawah kementerian diterajuinya.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor dalam kenyataannya hari ini memberitahu LKPUM sudah mengiktiraf lulusan UEC untuk menduduki PSAG sejak sekurang-kurangnya 20 tahun lalu.