Malaysia Dateline

Maszlee janji kembalikan baucar buku RM250 tahun depan

Bantuan baucar buku RM250 kepada pelajar institusi pendidikan tinggi ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) akan dikembalikan tahun depan, kata Maszlee Malik.

Memohon maaf berikutan gagal memberikannya tahun ini ekoran “keadaan kewangan,” menteri pendidikan berkata beliau berikhtiar “mendapatkan jumlah yang asal,” lapor Utusan Online.

“Keadaan kewangan semasa turut menyebabkan kadar bantuan kad buku dikurangkan selain keutamaan kerajaan untuk menyalurkan lain-lain bantuan kepada golongan miskin,” katanya.

“Itulah sebahagian hasil perbincangan mengenai perkara itu (kad buku) untuk tahun ini. Saya pohon maaf dan berjanji akan berusaha mendapatkan jumlah yang asal pada tahun hadapan.”

Ahli parlimen Simpang Rengam berkata demikian ketika menjawab soalan seorang pelajar dalam satu program di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dekat sini petang semalam.

Kerajaan kini hanya memberi RM100 kepada mahasiswa bawah skim baru Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi (BPPT) berbanding RM250 bawah Baucar Buku 1Malaysia (BB1M).