Malaysia Dateline

Maszlee kemuka 7 soalan yang perlu dijawab segera oleh KPM

Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyenaraikan sekurang-kurangnya tujuh perkara berbangkit yang perlu dijawab segera oleh Menteri Pendidikan susulan pengumumaj kerajaan untuk menutup sesi persekolahan sehingga Januari 2021.

Maszlee yang juga ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, sejak pengumuman Dr Mohd Radzi Jidin pada semalam, beliau (Maszlee) dihujani pelbagai reaksi dan kebimbangan yang perlu diberikan tumpuan oleh KPM.

Maszlee berkata, keputusan kerajaan telah menyukarkan ibu bapa yang terpaksa mencari jalan untuk merentas negeri bagi mengambil anak-anak di asrama berikutan pengumuman saat akhir penutupan sekolah.

“Persoalan pertama yang dibangkitkan ialah mengapa pengumuman penting seperti ini dibuat secara tiba-tiba?

“Bagaimana dengan 2.4 juta keluarga miskin dan B40 yang terpaksa mencari wang untuk membeli tiket dan membiaya kos perjalanan dalam masa terdekat?

“Kedua, apakah status guru duka lara yang telah lama berjauhan dengan pasangan masing-masing? Selama ini mereka terpaksa menanggung beban membeli tiket berkali-kali akibat pengumuman saat akhir KPM.

“Adakah mereka dibenarkan kembali bersama setelah berbulan-bulan tidak bersua muka, terutama untuk mereka yang terpaksa berulang alik antara Sabah, Sarawak & Semenanjung?,” soalnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambah Maszlee lagi, Mohd Radzi juga perlu menjawab persoalan berhubung nasib lebih 600,000 murid penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang tidak boleh ke sekolah.

Menurutnya, apakah KPM mempunyai perancangan khas untuk membantu lebih setengah juta anak warga miskin dan B40 yang selama ini bergantung sepenuhnya dengan pengambilan RMT.

Seterusnya, Menteri perlu menjelaskan perancangan untuk lebih 70,000 pekerja kantin yang tiada gaji harian kerana sekolah ditutup.

Kelima, Maszlee menegaskan apakah perancangan KPM untuk memastikan 36.9 peratus murid yang tiada peranti di rumah, tidak ketinggalan ketika rakan-rakan mereka yang lain melaksanakan kelas dalam talian bersama guru mereka.

“Keenam, apakah perancangan KPM untuk murid cicir setelah sekolah dibuka kelak? Saya difahamkan murid Tingkatan 2 dan 3 hanya akan kembali ke sekolah pada Mac 2021.

“Ini bermakna mereka akan berada di rumah sekitar 3 bulan. Terdapat kajian yang menyatakan ketidakhadiran murid ke sekolah selama 14 minggu boleh menyebabkan anak-anak kehilangan pembelajaran seolah-olah dua tahun lamanya.

“Adakah KPM akan mengeluarkan data murid cicir pasca PKP kepada umum kelak?,” soalnya lagi.

Perkara terakhir yang perlu dijawab segera kata Maszlee, KPM perlu menjelaskan jika kerajaan akan menyediakan bantuan psikologi dan mental untuk murid yang akan menduduki peperiksaan penting seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurutnya, kesemua soalan yang dibangkitkan adalah rintihan terbanyak dari ibu bapa yang bergelut dengan masalah ekonomi dan juga dari anak murid yang tiada peranti di rumah, serta mereka yang kehilangan motivasi untuk menduduki peperiksaan