Malaysia Dateline

Maszlee letak jawatan menteri atas nasihat Tun Dr Mahathir

Atas nasihat daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Maszlee Malik hari ini mengumumkan melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan.

Katanya, perletakan jawatan itu dibuat berdasarkan nasihat Tun Dr Mahathir dan atas ketaatan serta disiplin beliau terhadap kepimpinan parti dan juga kerajaan.

“Maka dengan hati yang redha walaupun berat, saya dengan ini meletakkan jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuatkuasa esok.

“Saya percaya keputusan ini bukanlah pengakhiran, sebaliknya sebuah permulaan yang baharu.

“Percayalah, reformasi negara tidak akan pernah berjaya tanpa menjadikan kebajikan rakyat sebagai tumpuan paling utama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada sidang media khas yang diadakan di pekarangan lobi Kementerian Pendidikan, di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun, dalam sidang media khas tersebut, wartawan hanya dibenarkan menanyakan tiga soalan kepada Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

Mengimbas kembali detik beliau mula melangkah masuk ke kementerian itu sebagai Menteri Pendidikan, Dr Maszlee sudah membayangkan tanggungjawab yang harus dipikul.

“Ketika saya masuk ke bangunan ini (Kementerian Pendidikan) sebagai Menteri hampir 20 bulan yang lalu, saya sering membayangkan betapa beratnya tanggungjawab memegang dua kementerian strategik di negara ini.

“Dari hari pertama, saya membayangkan kontroversi demi kontroversi, namun semenjak tahun 2018, KPM telah bersikap telus dengan segala inisiatif dan progres usaha-usaha reformasi pendidikan.

“Justeru, saya ingin merakamkan penghargaan terima kasih kepada Tun Dr Mahathir kerana telah memberi peluang selama 20 bulan untuk saya mengemudi KPM.

“Ia adalah hadiah terbaik kepada saya sebagai pendidik dan aktivis akademia dan saya juga ingin menyatakan pendirian, sokongan dan ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada beliau dan parti saya iaitu Bersatu,” katanya yang juga bekas pensyarah.

Ketika mengemudi KPM, Mazslee berkata beliau sering mengalu-alukan ‘public private partnership’ kerana sistem reformasi tidak boleh dilaksanakan secara berseorangan.

“Sekolah milik komuniti dan universiti milik masyarakat. Kejayaan sistem pendidikan adalah bermakna kejayaan masyarakat dan pendidikan adalah tanggungjawab semua.

“Namun sepertimana saya jelaskan pada awal, saya dilihat menimbulkan banyak krisis kepada kepimpinan terutama melibatkan isu Jawi, internet sekolah dan isu sarapan percuma.

“Walaubagaimanapun saya percaya saya telah meletakkan asas dan hala tuju yang jelas untuk dituruti warga KPM. Ianya terhimpun dan tersemat kemas dalam tiga kalimah keramat, iaitu ‘Pendidikan Untuk Semua’,” katanya.

Selepas sidang media berakhir, Dr Maszlee dilihat memandu kenderaan jenis Perodua Myvi berwarna hitam bersama dua lagi yang lain meninggalkan pekarangan Kementerian Pendidikan.