Malaysia Dateline

Maszlee Malik umum keluar Pejuang

Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik memgumumkan penarikan diri sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Penubuhan Parti Pejuang.

Maszlee dalam kenyataannya berkata, beliau ingin menumpukan sepenuhnya usaha untuk membantu rakyat yang terkesan dengan COVID-19 khususnya di Simpang Renggam dan umumnya di seluruh Malaysia.

“Saya juga akan meneruskan usaha dalam gerakan perubahan pendidikan melalui kapsiti saya sebagai Ahli Parlimen Bebas dan melalui ruang aktivisme dan kerja-kerja kemanusiaan melalui Ngo dan rakan aktivis lain.

“Saya percaya perubahan politik tidak memerlukan kedudukan dan jawatan tetapi keinginan dan kesempatan,” kata beliau.

Keputusan ini dibuat katanya melalui kajian lapangan dan tinjauan terperinci terhadap aspirasi dan kehendak rakyat terbanyak dan beliau yakin rakyat sudah muak dengan politik percaturan kuasa oleh pihak politikus elitis.

Jelasnya, rakyat mahukan ahli politik yang fokus berkhidmat dan benar-benar menyelesaikan masalah yang rakyat hadapi sekarang ini.

Terdahulu, Maszlee Malik didakwa memberi akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Dakwaan tindakan Maszlee itu dikatakan mengeruhkan lagi hubungannya dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.