Maszlee nafi timbalannya campur tangan urusan Pendidikan Islam

Maszlee nafi timbalannya campur tangan urusan Pendidikan Islam

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik menafikan dakwaan kononnya Teo Nie Ching mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan Islam Sekolah Kebangsaan seperti yang ditularkan dalam media sosial, baru-baru ini.

Menurut pemimpin dari parti Bersatu itu, Timbalannya hanya berkongsi maklumat mengenai inisiatif yang dilaksanakan Pasukan Petugas Khas Pendidikan Islam (PPKPI) di bawah Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK).

Ujarnya, penubuhan pasukan itu berhubung cadangan penambahbaikan mata pelajaran tersebut di Sekolah Rendah Kebangsaan.

“Kaji selidik tersebut dikeluarkan di laman web Kementerian Pendidikan, kemudian Nie Ching kongsikan maklumat tersebut di media sosial beliau.

“Ada orang tangkap layar dari media sosial beliau dan timbulkan isu bahawa timbalan menteri mahu campur tangan isu Pendidikan Islam.

“Itu tidak benar dan tidak timbul isu campur tangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Jalinan Mesra Menteri Pendidikan bersama warga kementerian, di Kuala Lumpur hari ini.

Untuk rekod, PPKPI akan dipimpin oleh bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Wan Mohd. Zahid Mohd Noordin.

MPPK dianggotai tujuh orang tokoh akademik bagi sesi 2018-2020 berkuatkuasa 1 Ogos tahun lalu selaras dengan peruntukan peruntukan Seksyen 10, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dan Peraturan-peraturan Pendidikan (MPPK) 2012.

Wan Mohd. Zahid dilantik sebagai Pengerusi MPPK manakala Tan Sri Yong Poh Kon sebagai Timbalan Pengerusi.

Turut menganggotai MPPK Datin Noor Azimah Abdul Rahim; Datuk Satinah Syed Saleh; Datuk Dr. Sukiman Sarmani; Brig. Jen. Datuk Yusri Anwar dan Prof. Dr. Ruzita Mohd. Amin.

Pada 17 Jun lalu, Nie Ching di Facebook miliknya mengalu-alukan semua pihak tanpa mengira kaum dan agama untuk memberi pandangan dan idea kepada PPKPI.

Bagaimanapun selepas tular dan dikecam banyak pihak kerana dianggap mencampuri urusan mata pelajaran Pendidikan Islam, pemimpin DAP itu kemudiannya bertindak memadamkan hantaran tersebut.

Walaupun Nie Ching kemudiannya memohon maaf kerana telah menimbulkan rasa kurang senang dan salah tafsir masyarakat Islam, rata-rata mempersoal tentang keanggotaan PPKPI dan mengapa kementerian mahu mengambil cadangan daripada orang bukan Islam bagi menambahbaik modul mata pelajaran Pendidikan Islam.