Malaysia Dateline

Maszlee rela disiasat, nafi terlibat tuduhan rasuah

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menafikan dakwaan beliau terlibat dengan rasuah ketika menjadi menteri pendidikan pada tahun 2018 hingga 2020.

Menerusi kenyataan ringkas awal pagi ini, Maszlee menyifatkan dakwaan tersebut sebagai usaha pembunuhan karakter yang berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ia susulan laporan portal tempatan yang memetik sumber bahawa Maszlee kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan merasuah.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah ini.

“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan.

“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan,” katanya.

Terdahulu Maszlee mendakwa pegawai SPRM menggunakan taktik ugutan terhadap kakitangannya, ekoran penglibatannya dalam demonstrasi menuntut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ditangkap.

SPRM dalam kenyataannya semalam pula menafikan tuduhan bahawa pegawai suruhanjaya itu melakukan intimidasi sebagaimana yang didakwa Maszlee.

Menurut sumber Malaysia kini, Maszlee didakwa menerima rasuah sewaktu menjadi menteri pendidikan dan menerima wang daripada pembekal kementerian pendidikan untuk digunakan sebagai aktiviti politik.

Beliau juga didakwa menerima sebuah kereta jenis Toyota Vellfire daripada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Kementerian Pendidikan.

Sementara itu Maszlee menegaskan bahawa hidup dan perjuangannya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib OKU, nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti negara.