Malaysia Dateline

Maszlee sah calon PH DUN Layang-Layang

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik diumumkan sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-layang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Nama bekas Menteri Pendidikan itu diisytihar pada Majlis Pengumuman Calon PKR PRN Johor Zon Tengah di Rengit dekat sini hari ini oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Untuk rekod, Maszlee yang sebelum ini daripada Bersatu telah menyertai PKR kira-kira tiga bulan lalu.

Mengulas pemilihannya, beliau mengakui terharu dengan kepercayaan yang diberikan parti kerana mengikut peraturan tidak bertulis PKR, Ahli Parlimen tidak akan bertanding di peringkat DUN.

“Namun, saya dapati pihak parti memutuskan untuk saya turun bertanding demi menawan DUN Layang-Layang yang kita kalah dan juga untuk memastikan DUN-DUN lain juga kita dapat bantu.

“Apa sahaja tanggungjawab atau kepercayaan diberikan itu, saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin dengan jentera dan penyokong yang ada di Parlimen Simpang Renggam.

“Lagi pula DUN Layang-Layang dalam Parlimen Simpang Renggam,” katanya yang menyertai PKR pada 27 November lalu.

Maszlee menjadi calon keenam diumumkan bertanding mewakili PKR pada PRN Johor, bulan depan.