Malaysia Dateline

Maszlee tekan 5 idea pembaharuan pendidikan, mampu bawa dunia Islam ke hadapan

Dalam menempuh cabaran pendidikan tinggi bagi dunia Islam hari ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggariskan lima idea pendidikan berorientasikan pembaharuan yang mampu melahirkan lebih ramai modal insan berfikiran kritis.

Menterinya, Dr Maszlee Malik, menyenaraikan lima tonggak iaitu pendekatan pendidikan, cabaran revolusi industri 4.0 (IR4.0), memperbaharui kaedah kajian, memperbaharui infrastruktur pendidikan, dan mentrasformasi pengendalian para pengajar dan cedekiawan.

Beliau menekankan kepentingan ‘etika’ dalam cabaran IR 4.0, untuk melahirkan pendidik masa depan yang bijak menggunakan teknologi sekaligus menyumbang ke arah pembangunan insaniah yang positif.

“Pendidikan yang berorientasikan pembaharuan merujuk kepada permulaan yang berterusan mengubah cara kita melihat dan mendekati pengetahuan.

“Kita perlu meletakkan pengetahuan duniawi dan kepentingan agama pada kedudukan yang sama. Dengan itu, etika menjadi rangka kerja terpenting dalam pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan

“Dengan kemajuan Industri 4.0 dalam sektor pendidikan, etika menjadi elemen penting bagi membantu mengawal selia sistem pendidikan dan memastikan pengetahuan itu secara positif menyumbang kepada kebajikan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Khas Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL Summit 2019) yang bertajuk ‘Mengaoa Pendidikan Menjadi Kunci Pembangunan Negara’ di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Selain itu, katanya, sekolah-sekolah pada masa ini perlu dijadikan sebagai platform bukan sahaja untuk ‘belajar’, malah sebagai medan menghasilkan bakat yang boleh berfikir; membuat penemuan saintifik baru; mencari penyelesaian kepada masalah dunia; dan menyesuaikan diri dengan segala perubahan.

Sementara itu, aspek ketiga dalam pembaharuan pendidikan pula merangkumi usaha pendidik dan pelajar dalam memperbaharui sistem penyelidikan.

“Pada akhirnya, para penyelidik harus bekerja rapat dengan pihak berkepentingan luar, persatuan dan organisasi komuniti untuk membuat konseptualisasi dan program penyelidikan reka bentuk, pendidikan dan pembangunan keupayaan yang akan membawa kepada hasil yang berkesan untuk semua pemegang berkepentingan,” ujarnya.

Maszlee turut menekankan tentang pembaharuan infrastruktur institusi dengan pembinaan makmal, perpustakaan serta dewan kuliah yang menggunakan teknologi baru untuk membangunkan persekitaran pembelajaran bebas dan kreatif.

Yang terakhir dan paling utama dalam membawa pendekatan pembaharuan dalam pendidikan katanya, negara perlu mengubah cara dunia melayan ulama dan pendidik.