‘Mat Don’ sah sertai Melaka United

‘Mat Don’ sah sertai Melaka United

Bekas pemain tengah prolifik Kedah, Liridon Krasniqi atau mesra dengan panggilan ‘Mat Don’ sah menyertai Melaka United (MU) bersama tiga pemain import yang lain hari ini.

Tiga pemain import itu ialah pemain pertahanan Jang Suk Won (Korea Selatan), pemain tengah Darko Markovic (Montenegro) dan penyerang Anselmo Casagrande (Brazil), bersama Krasniqi dan penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat menandatangani perjanjian selama setahun hari ini.

Majlis menandatangani kontrak pemain berkenaan disaksikan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) dan turut dihadiri Timbalan Presiden MUSA Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Ketua Jurulatih Melaka United Zainal Abidin Hassan.

Mohd Yusoff berkata empat pemain import tersebut hampir melengkapkan pasukan MU untuk menghadapi saingan Liga Super pada musim hadapan yang akan berlangsung Februari ini.

“Majlis pada hari ini menjawab segala spekulasi yang diperkatakan tentang pemain import yang akan menyertai MU pada musim hadapan dan empat pemain import ini dipilih ketua jurulatih menerusi beberapa perbincangan dan kriteria tertentu yang dilihat dapat membantu MU memperkukuhkan kedudukan pasukan.

“Sebagai contoh, Liridon datang saat akhir tapi saya fikir beliau bukan sahaja boleh membantu dari segi permainannya…semua orang dah tahu beliau telah bermain di negara ini selama empat tahun dan beliau akan menjadi ‘crowd puller’ untuk MU,” katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan.

Sementara itu, Adly berkata aspek kebajikan terutama pembayaran gaji pemain menjadi keutamaan dalam pengurusan MUSA untuk memuktamadkan pemilihan pemain agar isu berkaitan pembayaran gaji dapat diuruskan dengan baik.

Beliau berkata kebajikan pemain penting kerana ia mempengaruhi prestasi pemain sekali gus memberi impak kepada kekuatan atau pencapaian pasukan.

“Kita telah maklumkan kepada jurulatih dan pengurusan tentang aspek gaji ini dalam soal pemilihan pemain kerana bukan mudah untuk membina satu pasukan terbaik. Kita kena jadi satu pasukan yang terbaik untuk sepanjang satu musim akan datang…bukan hanya menonjol di permulaan musim dan ia memerlukan imbangan terutama soal kebajikan pemain,” katanya.

— BERNAMA