Mat Nadzari akan saman kerajaan Selangor

Mat Nadzari akan saman kerajaan Selangor

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan akan memfailkan saman terhadap Kerajaan Selangor berhubung isu ucapannya di Dewan Undangan Negeri pada 1 November tahun lalu.

Peguamnya Kamarudin Ahmad berkata, anak guamnya itu tidak melakukan sebarang pelanggaran dan mengeluarkan sangkaan jahat kepada Adun lain.

“Oleh itu, kita akan memfailkan saman pemula selewat-lewatnya minggu hadapan dan biarlah mahkamah yang memutuskannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi pendengaran di Bangunan Annex  di Shah Alam  hari ini.

Hari ini Mat Nadzari hadir ke prosiding khas di Dewan Undangan Negeri Selangor bagi membela diri atas satu pertuduhan yang dikenakan ke atasnya, berhubung satu ucapan yang dibuat oleh beliau dalam sidang dewan ketika membahas pembentangan Bajet Selangor 2017.

Dalam ucapannya itu, Datuk Mat Nadzari telah memetik satu bahagian daripada perlembagaan salah sebuah parti dalam gabungan kerajaan negeri Selangor yang menyatakan matlamat parti tersebut adalah untuk melaksanakan dasar pemerintahan yang berteraskan prinsip demokrasi berparlimen berperlembagaan di negara ini.

Dalam ucapannya itu, Mat Nadzari telah meminta Speaker Dun, Hannah Yeoh menjelaskan konsep pemerintahan berkenaan yang dilihat bercanggah dengan amalan semasa pemerintahan negara ini yang berteraskan prinsip ‘Demokrasi Berparlimen, Raja Berperlembagaan’.

Namun begitu, ucapan beliau itu telah dibantah oleh Adun Sungai Pinang yang juga Naib Pengerusi DAP Selangor,Teng Chang Khim yang kemudiannya meminta supaya Mat Nadzari dirujuk kepada Jawatankuasa Hak Kebebasan untuk dikenakan tindakan penggantungan daripada menghadiri sidang dewan.

Untuk rekod, dalam perlembagaan DAP, terdapat lapan belas matlamat digariskan dengan salah satu daripadanya menyatakan hasrat parti tersebut untuk melaksanakan sistem parlimen berperlembagaan tanpa menyebut kedudukan institusi Raja sebagaimana yang dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan.

Mat Nadzari kini sedang menunggu prosiding kedua yang dijangka akan dilangsungkan dalam masa terdekat.

TAGS