Mat Sabu akui AMANAH sukar tembusi Terengganu

Mat Sabu akui AMANAH sukar tembusi Terengganu
Peguam Datuk Zamani Mohamad menyerahkan borang keahliannya kepada Mohamad Sabu di Konvesyen AMANAH Negeri Terengganu hari ini

Presiden AMANAH Mohamad Sabu mengingatkan ahli-ahlinya di peringkat negeri Terengganu agar sama-sama berganding bahu mencari mekanisma terbaik bagi meningkatkan jumlah keahlian di negeri itu.

Bercakap di Konvensyen AMANAH Negeri Terengganu yang berlangsung jam 3 petang tadi Mohamad mengakui Terengganu salah satu negeri yang sukar untuk ditembusi AMANAH kerana ia salah satu kubu kuat Pas selain Kelantan.

“Kita berumur 3 tahun di Terengganu kita hadapi kesukaran untuk kembangkan AMANAH, siapa pun yang pimpin negeri ini sama ada Terengganu atau Kelantan masing-masing adalah kubu kuat Pas.

“Dua negeri ini Pas perintah walaupun pernah hilang kuasa kemudian berkuasa semula. Ertinya kita sama-sama akui negeri Terengganu paling kuat Pas,” katanya.

Malah katanya, semua pihak perlu sama-sama bertanggungjawab dan menyedari hal ini bukannya menunding jari menyalahkan antara satu sama lain.

“Jangan salahkan orang itu orang ini, kita sama-sama pikul tanggungjawab termasuklah kami di peringkat nasional, kena melihat mengapa sambutan kepada AMANAH dan PH masih agak rendah di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, bukan senang untuk mana-mana parti merungkaikan semula kekuatan yang dibina di negeri Terengganu dan ianya memerlukan masa yang sesuai.

“Saya bersimpati dengan pejuangan AMANAH, Keadilan, Bersatu yang tidak berapa subur buat masa ini tetapi kita ada masa depan yang tetap gemilang,” katanya diikuti tepukan gemuruh para peserta yang memenuhi dewan di Wisma Peladang Terengganu.

Mohamad melahirkan rasa bersyukur walaupun AMANAH di usia setahun jagung kini keahlian parti itu sudah mencecah lebih 100,000 ahli dengan penyertaan paling ramai dari negeri Selangor, Kedah, dan Johor.

Namun katanya, walaupun Kelantan juga kubu kuat Pas tetapi pergolakan politik negeri itu telah mendorong peningkatan keahlian AMANAH yang dianggarkan hampir 2000 ahli setiap bulan.

“Ianya cukup memberangsangkan. Di Kelantan seorang pimpinana utama Mustapa Mohamed berhijrah ke Bersatu sedikit sebanyak memberi kesan politik, ekoran selepas itu 1,700 golongan pemuda serahkan borang ahli sertai PH,” ujarnya,

Justeru, Mohamad mengingatkan pimpinan AMANAH untuk sama-sama muhasabah dan bukan mencari kelemahan mana-mana pemimpin tetapi mencari kelemahan organisasi penerangan untuk sama-sama garap demi masa depan AMANAH.

Sehubungan itu, Mohamad turut menerima 300 borang keahlian daripada wakil Besut, 80 keahlian daripada wakil Kemamam dan 123 keahlian daripada wakil Dungun dan diikuti seorang peguam Datuk Zamani Mohamad menyerahkan borang keahliannya terus kepada Mohamad.

COMMENTS