Malaysia Dateline

Mat Sabu akui pengamal media bantu karier politiknya dan kementerian pertahanan

Mohamad Sabu tidak melupakan pengamal media yang pernah mengkritiknya dalam karier politik selama 40 tahun dan pada hari pertama beliau menjadi Menteri Pertahanan.

“Saya akui sejak 40 tahun berkecimpung dalam politik, pengamal media banyak membantu dalam kemajuan karier sebagai pemimpin politik.

“Yang kritik membantu, yang menyokong membantu, yang membodek kurang membantu.

“Saya ingat lagi laporan pertama media ketika mula bertugas sebagai menteri pertahanan bertajuk, ‘Mohamad Sabu Nurvous’ dan ‘Mohamad Sabu mohon maaf lupa beri tabik hormat.

“Maklumlah saya berada di jalanan dalam banyak perhimpunan kemudian dilantik menteri pertahanan.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kerana memberi liputan positif dan negatif terhadap kementerian pertahanan sepanjang saya menjadi menteri,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media yang diadakan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Selasa.

Mohamad dilantik sebagai menteri pertahanan pada 21 Mei 2018 lalu bersama 12 lagi anggota kabinet selepas Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Beliau yang mesra dipanggil  Mat Sabu  berkata,  sejak PH mentadbir negara pengamal media diberikan kebebasan untuk membuat laporan kepada kepimpinan PH dan isu membabitkan kementeriannya.

“Dalam pemerintahan kerajaan PH media tidak lagi dikawal ketat seperti kerajaan terdahulu. Setakat ini kita masih belum dengar wartawan tidur dalam lokap, laman sesawang disekat, lesen penerbitan di gantung.

“Kadang-kadang maklumat mengenai diri sendiri, kita tidak tahu mereka (wartawan) tahu.

“Pengamal media bukan baca di depan dinding tetapi mereka membaca di belakang dinding.

“Bukan dilihat apa yang dizahirkan tetapi mereka nak tahu apa yang dizahirkan sebegitu rupa di hadapan.

“Pengamal media ada kebebasan menulis dan mengkritik dan beri pandangan bersifat profesional menerusi analisa yang panjang bersandarkan pengalaman mereka dalam dunia kewartawanan.

“Sesungguhnya kritikan akan dapat membantu kami baiki kelemahan dan menjadi lebih baik dari hari ke hari. Setiap jam belajar benda baru dan masih lagi belajar dan cuba keadaan dalam kementeiran pertahanan. Kita kena cepat sesuaikan diri berada di tengah suasana baru  memimpin satu kementerian yang berprestij dan kekananan.

“Terima kasih kerana hadir walaupun jadual padat masih mampu luang masa buka puasa bersama saya,” ujarnya.

Dalam majlis diadakan itu sekitar 80 pengamal media hadir. Turut hadir tokoh kewartawanan Tan Sri Johan Jaafar, dikalangan pengarang media arus perdana dan portal media.