Malaysia Dateline

Mat Sabu bantah CAC di kawasan perumahan Sri Andalas, gesa dipindahkan

Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu hari ini menyerahkan satu surat yang membantah penempatan lokasi Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Sri Andalas dan menggesa agar pusat itu dipindahkan segera dari kawasan taman tersebut.

Menerusi surat yang ditandatanganinya bertarikh hari ini, Mohamad menegaskan bahawa beliau yang mewakili Parlimennya tidak dimaklumkan oleh pihak berkuasa untuk mengadakan CAC Di Taman Sri Andalas Klang dan hanya mengetahui tentang hal itu apabila CAC beroperasi.

Beliau memaklumkan menerima banyak bantahan dari penduduk sekitar dan seluruh Andalas kerana mereka berasa panik, tidak selesa, menjadi trauma takut wabak masuk ke kawasan mereka

“Justeru saya berharap CAC ini dipindahkan segera keluar dari kawasan perumahan Sri Andalas.

“Saya mencadangkan ianya boleh dibuat di Dewan Pejabat Daerah Klang Dewan Kemas di Ibu Pejabat Kemas Selangor, di Bukit Raja Dewan Hokkien Klang dan Stadium Kota Raja,” katanya menerusi suratnya hari ini.

Surat itu dilihat dituju kepada Pegawai Kesihatan Daerah Klang, Ketua Polis Daerah Klang Selatan, dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang.

Pada semalam tular video dan gambar yang memaparkan orang ramai bersesak di luar CAC yang terletak berhampiran kawasan perumahan penduduk.

Mereka antaranya dapat dilihat meletakkan kenderaan di hadapan rumah penghuni taman Sri Andalas.

Perkara itu menyebabkan penduduk bimbang sekiranya mereka berpotensi untuk dijangkiti.