Mat Sabu bebas dakwaan fitnah anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong

Mat Sabu bebas dakwaan fitnah anggota polis dalam peristiwa Bukit Kepong

Mahkamah Rayuan hari ini membebaskan Presiden Amanah Mohamad Sabu daripada dua dakwaan fitnah berhubung kenyataannya mengenai kejadian Bukit Kepong yang berlaku pada 1950.

Barisan Hakim terdiri daripada Tengku Maimun Tuan Mat, Ahmadi Asnawi dan Rhodzariah Bujang menolak rayuan pendakwaan dan mengekalkan pembebasan terhadap pertuduhan itu.

Rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang ditolak hakim Mahkamah Tinggi dan membebaskan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu daripada sebarang pertuduhan pada akhir kes pendakwaan tanpa perintah tahanan.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Tengku Maimun yang mempengerusikan panel mahkamah, berkata mahkamah mendapati tidak ada sebab untuk Mahkamah Tinggi Persekutuan meneruskan dakwaan yang dikenakan terhadap Mohamad.

“Tidak ada kesalahan arahan oleh Mahkamah dan hakim perbicaraan menyimpulkan bahawa pendakwaan tidak cukup buktikan kes prima facie,” katanya.

Mohamad didakwa mencemarkan nama anggota polis dan ahli keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan 23 Februari 1950 oleh gerila komunis di balai polis Bukit Kepong.

Beliau didakwa di bawah seksyen sama memfitnah tiga anggota polis – Konstabel Marin Abu Bakar Daud, Kontabel Jaafar Hassan dan Sarjan Yusoff Rono – dan ahli keluarga mereka.

Mohamad, 61, didakwa melakukan kesalahan di hadapan Pusat Asuhan Tadika Islam (Pasti) Al-Fahmi, Markas Tarbiyah Pas di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang antara pukul 10 malam dan tengah malam pada 21 Ogos 2011.

Peguamnya, Mohamed Hanipa Maidin, mengemukakan bahawa unsur-unsur kesalahan itu tidak didedahkan dalam pertuduhan itu.

Mohamad diwakili barisan peguambelanya Aminuddin Zulkifli, Nasar Khan Mirbas Khan, Nazratun Naim, Syarifah Asma dan Hanipa Maidin.

Menurut Aminuddin terdapat butiran tertentu yang sepatutnya dimasukkan dalam pertuduhan tetapi tidak dimasukkan oleh pihak pendakwaan.

“Di Mahkamah Rayuan ini kami hujahkan perkara sama semua hakim di tiga mahkamah bersetuju dengan kami ia bersifat defective dan tidak mendedahkan kesalahan fitnah jenayah.

“Pihak pendakwaan cuba menyamakan fitnah jenayah sama dengan fitnah dalam sivil.

“Dalam fitnah jenayah ia kena berbalik pada niat orang yang didakwa jika ia tidak bermaksud begitu ia tidak bermaksud fitnah jenayah,” ujarnya kepada media di ruang mahkamah hari ini.

Kes ini telah berlarutan selama enam tahun. Selain peguam turut kelihatan di mahkamah Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

5.0
OVERALL SCORE
: 0.0
1 user vote x 10.0