Naik helikopter kerajaan untuk kegunaan keluarga satu fitnah jahat

Pengerusi Biro Undang-undang AMANAH (Kanun) Hanipa Maidin menegaskan dakwaan kononnya Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menaiki helikopter milik kerajaan untuk kegunaan keluarga sebagai seratus peratus fitnah jahat.

Menurutnya, Mohamad yang mesra dipanggil Abag Mat dikenali sebagai seorang yang amat sensitif dalam menggunakan harta awam untuk kegunaan peribadi atau keluarga sendiri.

“Kini, Alhamdulillah seorang pramugari Malaysia Airlines tampil membela Abang Mat. Alhamdulillah. Apapun, terima kasih.

“Saya agak rapat dengan Abang Mat sejak sekian lama. Boleh kata semua kes beliau, saya yang kendalikan kerana mungkin kepercayaan dia pada khidmat saya.

“Sedikit sebanyak hubungan yang begitu lama dan agak personal itu menyebabkan wujudnya ‘kepercayaan yang agak jitu’ antara kami berdua,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed Hanipa Maidin

Semalam, seorang pramugari Malaysia Airlines tampil membela Mohamad ekoran timbulnya dakwaan Menteri Pertahanan itu menggunakan helikopter milik kerajaan untuk kegunaan keluarga di Hari Raya.

Enggan dinamakan, beliau dipetik Malaysiakini berkata, bersimpati dengan Mohamad dan isteri memandangkan ada sahaja fitnah yang ditimbulkan kepada mereka.

Pramugari itu turut berkongsi gambar kapten dan krew bersama Mohamad di luar pintu pesawat selepas pesawat dari Kuala Lumpur mendarat di Pulau Pinang pada Hari Raya pertama lalu.

Mengulas lanjut, Hanipa yakin Mohamad yang merupakan Presiden AMANAH itu tidak akan teragak-agak untuk meminta maaf jika alpa dan tersilap.

“Bagi beliau (Mohamad), mengakui kesilapan bukan suatu kelemahan! Tetapi , dalam isu terbaru ini, beliau memang tak lakukan sama sekali dakwaan dan tuduhan jahat tersebut,” tegasnya.

Sehubungan itu, Hanipa menasihatkan pemfitnah Mohamad supaya berhenti daripada bersikap sedemikian memandangkan Ahli Parlimen Kota Raja berkenaan bukan individu yang agak gemar mengenakan tindakan saman.

“Beliau (Mohamad) juga agak pemaaf orangnya. Tapi, jika berlebihan sangat tuduhan palsu dan fitnah, mungkin lain jadinya.

“Justeru itu, saya nak nasihat kepada pihak yang suka fitnah Abang Mat, kena berhati-hati.

“Terlepas hari ini tidak bermakna akan terlepas esok hari. Jadi, berhati-hatilah!” tegas Ahli Parlimen Sepang itu lagi.

Kelmarin, pengguna Facebook atas nama Mohamad Nazri Abdul Kadir memuat naik rakaman video berdurasi 27 saat dan dua foto dengan mempersoalkan sama ada Mohamad dan keluarganya menggunakan helikopter milik kerajaan untuk menyambut hari raya di Jejawi, Perlis.

Walau bagaimanapun, imej Mohamad seperti yang didakwa dalam mesej yang tular di laman sosial itu tidak jelas ekoran gambar dan rakaman yang diambil dari jauh.

Sehubungan itu, Mohamad menafikan dakwaan tersebut bahkan memberitahu beliau tiada di Perlis pada sambutan Hari Raya.

“Tidak benar sama sekali. Saya tidak akan menggunakan aset kerajaan untuk kepentingan diri sendiri dan tidak berada di Perlis pun. Semuanya palsu dan dusta semata-mata,” tegas Mohamad di Twitter.

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
4 user votes x 10.0
CATEGORIES
TAGS