‘Mat Sabu junior’ cerita kepincangan Najib

Telatah kanak-kanak ini mengajuk ucapan Mohamad Sabu tentang skandal 1MDB tular di media sosial.

Tular di media sosial rakaman video seorang kanak-kanak lelaki mengajuk sedutan ucapan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang juga merupakan Presiden AMANAH pada kempen PRU-14 lalu.

Dianggarkan berusia dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun, dia yang memakai kemeja-T berwarna merah dan berkopiah hitam itu dilihat selamba menghiburkan khalayak yang menyaksikan telatahnya.

Rakaman berdurasi 30 saat itu memaparkan kanak-kanak berkenaan duduk di atas pangkin batu dengan disaksikan sekumpulan lelaki.

“Pengerusi 1MDB Najib, Menteri Kewangan Najib, Perdana Menteri Najib. Bila duit 1MDB tak cukup sebab dah belanja mewah semua, Najib minta kepada Najib.

“Najib kata nanti, aku bincang dulu dengan perdana menteri – Najib. Bila Najib berbincang dengan Najib, luluslah wang rakyat kepada Najib,” ajuk kanak-kanak itu disambut ketawa berdekah-dekah pendengarnya.

Petikan ucapan humor tersebut antara ungkapan popular yang kerap disebut Mohamad dalam siri Jelajah Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dalam menerangkan tentang kepincangan urus tadbir 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ucapan lucu Mohamad Sabu pada musim kempen PRU-14 diingati rakyat termasuk kanak-kanak.

Antaranya, di Guar Chempedak di Parlimen Jerai, Kedah pada 29 Mac lalu.

Mohamad merangkap Pengarah Komunikasi dan Mobilisasi PH itu dikenali sebagai pemimpin yang sarat dengan ucapan bernada sindiran dan lucu bagi menerangkan isu semasa kritikal negara.

Ahli Parlimen Kota Raja berkenaan dilihat menghuraikan skandal 1MDB yang bersifat teknikal itu dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami masyarakat awam.

Bahkan, sejumlah suntingan sedutan ceramah lawak beliau sepanjang kempen PRU-14 lalu meraih sehingga ratusan ribu tontonan apabila dimuat naik di laman perkongsian video YouTube.

CATEGORIES