Mat Sabu kepada pemuda: Bukan kuota, kalau mampu silakan

Mat Sabu kepada pemuda: Bukan kuota, kalau mampu silakan

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu menegaskan bahawa bukan kuota yang menjadi keutamaan untuk pemuda menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Sebaliknya beliau berkata, merit atau kebolehan membuat kerja harus ditunjuk oleh pemuda dalam parti tersebut untuk membolehkan mereka dipilih sebagai calon.

“Saya bersetuju dengan rakan-rakan semua merit itu perlu ditunjuk. Bagi kita bukan 30 peratus, bukan 40 peratus, bukan 80 peratus tapi kalau ada kemampuan silakan. Setakat mana pun kita boleh terima kehadiran pemuda,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan di Konvensyen AMANAH di Alor Setar, hari ini.

Sebelum itu, usul yang dikemukakan Pemuda Amanah Nasional untuk kuota 30 peratus calon PRU14 terdiri dalam kalangan golongan muda ditolak perwakilan.

Usul yang dibacakan oleh Exco Pemuda AMANAH Nasional Saifullah Abdul Nasir dibantah dua perwakilan dari Penang dan Perak dan disokong sebahagian besar daripada 789 perwakilan yang hadir.

Dalam perbahasan usul Pemuda AMANAH Nasional itu, Saifullah berkata, parti perlu mengenengahkan calon muda di kalangan pemuda dan wanita bagi mewakili kelompok pemuda dalam Pakatan Harapan.

Mengulas perkara itu, Mohamad berkata, muda atau tua, ia berdasarkan merit.

“Bila cakap pasal muda dan tua saya terharu. Saya mula pada usia 27 tahun melawan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kali kedua ketika berusia 32 tahun saya melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kemudian bila kita menunjukkan komitmen kerja kia, dua kali dah kalah, Tok Guru Nik Aziz, Datuk Wan Rahim dan sebagainya membuat keputusan kali ini, Bang Mat kena datang bertanding di kelantan.

“Maka dalam usia 35 tahun saya menang dan masuk parlimen. Maknanya saya mula di usia muda dan terus meningkat,” katanya.

Mohamad berkata, menjadi pemimpin pada usia muda tidak menjamin seseorang itu mampu menjadi pemimpin yang hebat.

Beliau mengambil contoh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang dilantik sebagai menteri besar Pahang pada usia 22 tahun namun terlibat dalam skandal rasuah pada akhirnya.

“Kalau mula usia muda pun tak guna, Najib mula di usia 22 tahun jadi Menteri Besar, sekarang apa jadi. (Dia jadi) penyangak.

“Nik Aziz jadi menteri besar umur lebih 64 tahun. (Presiden Amerika Syarikat) Donald Trump 70 tahun, Nelson Mandela lebih 70 tahun.

“Ada yang muda ada yang tua, ia berdasarkan merit,” katanya.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote