Mohamad Sabu, Salahuddin kekal teraju AMANAH

Mohamad Sabu, Salahuddin kekal teraju AMANAH

Seperti yang dijangkakan, Mohamad Sabu hari ini dinobatkan sebagai Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) bagi sesi 2019-2022 sekaligus mengekalkan jawatannya bagi penggal kedua ini.

Menteri Pertahanan itu, antara 27 calon yang terpilih dalam Jawatankuasa Pimpinan Nasional (JKP) yang menduduki tempat ketujuh dengan pungutan undi sebanyak 681 sokongan.

Manakala Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memperoleh pungutan undi lebih banyak, dinobatkan sebagai Timbalan Presiden AMANAH.

Ahli Parlimen Pulai itu memperoleh sebanyak 765 undi daripada 822 perwakilan yang mengambil bahagian dalam pemilihan semalam, sekaligus meletakkan beliau di kedudukan tiga tertinggi dalam Jawatankuasa pimpinan pergerakan itu.

Sebelum itu, sayap parti Pemuda AMANAH Nasional telah memberi janji bakal bersama-sama memberi undi kepada Mohamad dan Salahuddin untuk kekal menerajui parti AMANAH.

Sementara itu, bagi jawatan Naib Presiden, tiga penyandang dikekalkan yang menamakan Datuk Mahfuz Omar sebagai Naib Presiden 1.

Naib Presiden 2 pula merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Datuk Seri Mujahid Yusof dan diikuti dengan Naib Presiden 3, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.