Mat Sabu yakin penyokong dan ahli Pas undi Zawawi

Mat Sabu yakin penyokong dan ahli Pas undi Zawawi

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu yakin calon PKR Mohd Zawawi Ahmad Mughni mampu mengekalkan kemenangan di kerusi Dun Sungai Kandis pada pilihan raya kecil 4 Ogos nanti.

Malah beliau tidak menolak ahli dan penyokong Pas akan turut mengundi Zawawi memandangkan Pakatan Harapan kini adalah kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Saya yakin ahli dan penyokong Pas juga akan mengundi Ust Zawawi bagi memenangkan Pakatan Harapan. Tambahan pula Pakatan Harapan ketika ini adalah kerajaan bagi negeri dan juga Persekutuan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan sempat meluangkan masa turun membantu berkempen bagi memenangkan calon dari Pakatan Harapan itu.

“Hari ini saya turun membantu kempen untuk Ust Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Saya juga menyatakan permohonan maaf kepada pengundi di kawasan Sungai Kandis kerana saya tidak dapat untuk turun membantu kempen lebih awal berikutan terlibat dengan lawatan kerja ke luar negara beberapa hari lalu.

“Apapun, komitmen saya adalah untuk memastikan Ust Zawawi menang dalam PRK kali ini,”ujarnya.

Menerusi lawatan kerja itu, Mohamad memaklumkan, pihaknya turut terlibat bagi menjemput syarikat-syarikat besar untuk turut sama mengikuti Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (Lima) pada tahun hadapan.

Dalam PRK Dun Sungai Kandis kali ini, Pas tidak meletakkan calon dan memberi laluan kepada calon BN, Datuk Adam Nor Lokman untuk bersaing dengan Zawawi serta calon Bebas, Murti Krishnasamy.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0
CATEGORIES