“Kita tidak mahu mereka tahu tentang Malaysia,” itulah jawapan seorang lelaki ‘Mat Salleh’ ketika diminta memperkenalkan negara ini kepada masyarakat dunia.
Kenyataan dibuat oleh warga asing itu bukanlah bermaksud mahu memberi persepsi negatif terhadap Malaysia namun memiliki alasan yang mencuit hati di sebaliknya.
Mat Salleh berkenaan mulanya ditemu bual oleh seorang pencipta kandungan yang juga merupakan warga asing berhubung perkara paling digemarinya mengenai negara ini.
Dalam rakaman yang dikongsi di platform TikTok itu, lelaki terbabit mengakui perkara paling digemarinya di Malaysia sudah tentulah makanan terutamanya hidangan ikan kari.
Menurutnya, pelancong juga boleh melakukan pelbagai aktiviti sukan lasak di negara ini namun perut yang diisi dengan makanan enak merupakan perkara paling penting.
“Perkara yang saya gemari kebanyakkannya adalah makanan seperti hidangan ikan kari, udang, ketam dan roti canai. Boleh juga buat pelbagai aktiviti sukan di sini tetapi perut anda perlulah terisi,” katanya.
Lelaki dikenali sebagai Matt itu kemudian diminta untuk menyenaraikan tiga perkara mengenai negara ini yang menurut pandangannya patut diketahui masyarakat dunia.
Hanya menyenaraikan satu perkara iaitu makna slogan ‘Malaysia Boleh’, Matt berfikir seketika sebelum mengatakan bahawa orang luar tidak patut tahu tentang Malaysia.
“Sebenarnya tak boleh. Kita tidak mahu mereka tahu tentang Malaysia. Sebab ia terlalu bagus. Jadi hanya kita (yang tahu) boleh nikmatinya. Mereka tak boleh tahu apa-apa tentang Malaysia.
“Cukup sekadar (ambil tahu) tentang negara Singapura dan Thailand. Itu sahajalah,” jelas Mat Salleh berkenaan di dalam rakaman tersebut dengan nada yang berseloroh.
Rupa-rupanya, Matt tidak mahu masyarakat dunia tahu tentang Malaysia ekoran khuatir ia akan dipenuhi dengan orang ramai lalu membataskan mereka untuk menikmati keindahan negara ini.
Berdasarkan baju yang dipakai oleh Matt, warga asing itu dipercayai berasal daripada German dan mengunjungi pantai Cherating, Kuantan, Pahang untuk melakukan aktiviti ‘wing surfing’.
Baca juga: ‘Founder’ 99 Speedmart kini tersenarai antara 10 terkaya di Malaysia dengan aset lebih RM12 bilion