Warga UK kagum dengan perkhidmatan kesihatan Malaysia, proses pembedahan cepat dan lancar!

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita warga United Kingdom berjaya mencuri perhatian ramai selepas berkongsi pendapatnya tentang kualiti perkhidmatan kesihatan di Malaysia, baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, wanita terbabit memuat naik satu rakaman sambil bercerita pengalaman ketika menerima rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada Oktober lalu.

Difahamkan, wanita itu dikejarkan ke hospital berkenaan kira-kira pada pukul 11 pagi selepas mengalami kesakitan di bahagian abdomen selain turut muntah-muntah dan rasa menggigil.

Wanita itu bagaimanapun merasa kagum apabila pihak hospital telah menjalankan beberapa jenis ujian meskipun baru sampai ke pusat perubatan tersebut dalam tempoh dua jam.

“Dalam tempoh dua jam selepas tiba di hospital itu, saya sudah menjalani beberapa ujian darah, saringan air kencing dan CT Scan (Penggantian Mesin Computed Tomography).

“Saya kemudian disahkan menghidap apendiks. Sudah tentulah saya rasa sangat takut sebab perlu menjalani pembedahan. Memang sudah tiada cara lain,” kata wanita berkenaan dalam perkongsian itu.

Pada hari yang sama wanita terbabit dikejarkan ke pusat perubatan berkenaan, pihak hospital memaklumkan bahawa pembedahan perlu dijalankan dengan segera pada petang itu juga.

Wanita itu mengakui merasa sangat khuatir kerana tidak sempat melakukan sebarang persediaan dari segi mental dan fizikal malah prosedur pembedahan tersebut adalah yang pertama kali buatnya.

“Saya sekarang sudah balik semula ke rumah. Cuba untuk sembuh dengan cepat. Keseluruhan pengalaman dalam sektor perkhidmatan kesihatan di Malaysia ini memang sangat baik.

“Saya juga merasa agak lega kerana kejadian ini berlaku di Malaysia. Hal ini berikutan saya sendiri tidak pasti sekiranya perkhidmatan kesihatan di UK akan berjalan secepat ini.” Akuinya.

Pembedahan yang dijalankan pada pukul 5 petang hari sama itu selesai pada pukul 8 malam dan wanita terbabit mengambil keputusan untuk tukar ke bilik VIP selepas prosedur dijalankan.

Warga United Kingdom yang kini menetap di Malaysia bersama suami dan anak-anak itu kemudian dibenarkan untuk pulang ke rumah selepas lima hari menjalani pembedahan.

Baca juga: Amelia Christie beli kereta idaman kedua pada usia 24 tahun, terkejut tahu harga cecah RM150,000