Mat Taib lompat ke dalam tempurung Umno semula, kata Mahathir

Saya masih ingat Mat Taib bawa beg penuh duit dan ditangkap di Australia.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kemasukan Tan Sri Muhamad Mohd Taib umpama melompat ke dalam tempurong Umno semula.

“Mat Taib lompat balik ke bawah tempurong parti Umno. Dia ni bersifat seperti katak,” kata Mahathir mengulas penyertaan semula bekas MB Selangor itu ke dalam Umno hari ini.

Kata Tun Mahathir, Mat Taib telah menyertai semua parti sebelum menyertai Umno semula.

“Dari Umno dia lompat masuk Pas. Dari Pas dia masuk PKR. Dari PKR pula dia nyatakan sokongan kepada saya dalam parti Pribumi. Sekarang dia lompat masuk Umno.

“Tahniahlah kepada Umno. Ada banyak orang macam Mat Taib, saya jamin Umno akan kalah dalam pilihan raya,” kata Mahathir.

Beliau hairan bagaimana Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi boleh menerima semula Mat Taib.

Katanya, beliau masih ingat bagaimana Mat Taib bawa satu beg yang penuh dengan duit dan ditangkap di Australia.

“Alasan yang dia beri, dia tidak faham bahasa Inggeris. Sebab itu dia langgar undang-undang.

“Saya tahu dia boleh berbahasa Inggeris tetapi saya tak tahulah duit itu datang dari mana,” kata Mahathir.

Beliau juga mengingatkan semua pihak, orang yang macam ini tidak boleh dipercayai sangat.

“Sebab itu dia kena buang,” kata bekas presiden Umno dan perdana menteri itu.

Mat Taib mengumumkan penyertaan ke dalam Umno hari ini dalam satu sidang media khas Umno yang disertai oleh presiden dan timbalan presidennya.

Pelbagai pihak menyifatkan sidang media khas itu ‘anti klimak’ apabila hanya mahu mengumumkan kemasukan Mat Taib.