Mat Taib senjata bermanfaat Umno merampas Selangor, kata penganalisis

Tan Sri Muhammad Muhd Taib (kanan) bersama Datuk Seri Mohd Najib Razak (tengah) dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dalam sidang media  khas yang diadakan di Menara Dato Onn semalam.

Tan Sri Muhammad Muhd Taib dianggap sebahagian daripada ‘senjata’ Umno-BN untuk menawan kembali Selangor, kata penganalisis politik.

Geostrategis Azmi Hassan berkata, Umno melihat Pas tidak mempunyai pendirian tetap terhadap hubungan kerjasama dengan PKR yang masih lagi terumbang ambing di negeri itu mengambil peluang di atas kemasukan semula Muhammad atau lebih dikenali sebagai Mat Taib di dalam parti itu.

“Jika Umno pintar mengunakan kehadiran Mat Taib dan situasi Pas ketika ini masih lagi dilihat terumbang ambing sama ada mahu bekerjasama dengan PKR Selangor atau sebaliknya, maka apa jua suntikan politik termasuk kehadiran Mat Taib boleh memberi manfaat kepada Umno Selangor,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Justeru kata beliau lagi, sudah pasti sidang media khas diadakan semalam bagi mengumumkan kemasukan semula bekas menter besar selangor itu di dalam Umno kerana parti itu melihat Mat Taib masih lagi mempunyai pengaruh di negeri itu bagi membantu Umno-BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“Persepsi Umno Mat Taib masih berpengaruh di Selangor kerana pengalaman beliau merentasi tiga parti iaitu Umno, Pas dan PKR iaitu satu kelebihan yang tidak dipunyai oleh mana-mana bekas ahli politik di Selangor.

“Itulah sebab sidang media khas dibuat untuk mengumumkan beliau masuk Umno.

Azmi Hassan

“Mungkin ada yang kecewa kerana harapkan pengumuman mengenai pembubaran parlimen tetapi sudah dijangka awal pengumuman mengenai Umno sahaja kerana hanya ahli politik dari parti itu yang terlibat dalam sidang media khas diadakan seperti kehadiran ahli Majlis Tertinggi Umno sahaja,” terangnya mengenai sebab sidang media khas itu diadakan.

Dengan kemasukan  semula bekas Naib Presiden Umno itu seperti diumumkan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohd Najib Razak, menerusi satu sidang media khas di Menara Dato’ Onn,semalam, sudah tersebar cakap-cakap kononnya, Mat Taib akan memujuk wakil rakyat PKR untuk keluar parti menjelangnya Pilihan Raya Umum ke-14 ini bagi menubuhkan sebuah kerajaan campuran di Selangor membabitkan gabungan  BN -Pas-Bebas.

Menilai akan senario tersebut Azmi berkata, sebab itu sidang khas itu diadakan yang dianggap bersesuaian bagi pihak Umno sebagai isyarat lampu hijau terhadap parti lawan.

“Memang itu perkhabarannya (kerajaan campuran) sebab itu dianggap sidang khas itu bersesuaian diadakan.

“Perlu diingat Mat Taib mempunyai kaitan bukan sahaja dengan Umno tetapi juga dengan Pas dan PKR.

“Sebab itu dalam masa terdekat akan kelihatan perubahan senario politik di Selangor yang melibtkan kerjasama Umno-Pas-Bebas yang terdiri daripada  bekas wakil rakyat PKR.

“Kemungkinan jika pun berlaku senario ini adalah kerana kehadiran Mat Taib kembali dalam Umno,” terangnya.

Kerusi Dun di Selangor terdiri daripada DAP (14), PKR(13) Amanah (2) Pas (13) dan Bebas (2) manakala BN 12 kerusi.

Sekiranya benar jangkauan kebarangkalian kemasukan wakil rakyat PKR dan Bebas akan berlaku membabitkan 9 wakil rakyat, maka senario itu akan membawa kepada 20 kerusi Dun yang akan dimiliki Umno-BN yang sebelum ini mempunyai 12 kerusi di Selangor akan membentuk kerajaan campuran BN-Pas-Bebas sebanyak 33 kerusi daripada 56 kerusi Dun di Selangor dalam PRU-14 akan datang.