Malaysia Dateline

Mat Yo belum mahu bersara, sudah ambil lesen jurulatih

Penyerang veteran Norshahrul Idlan Talaha masih belum mahu memikirkan soal persaraan, dengan kariernya sebagai pemain bola sepak diteruskan bersama pasukan Harini FT.

Pemain berusia 36 tahun yang lebih dikenali sebagai Mat Yo itu berkata setakat ini beliau hanya tertumpu kepada perancangan pengurusan skuadnya itu untuk berentap dalam divisyen ketiga bola sepak tanah air, Liga M3.

Bagaimanapun, katanya beliau sedang giat menjalani kursus kejurulatihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk meneruskan kariernya sebagai jurulatih pada masa akan datang. 

”Belum masa lagi untuk gantung but, saya sekarang fokus dengan apa yang Harini FT nak buat.

“Sambil-sambil itu saya dah ambil kursus lesen jurulatih, dah lulus lesen C. Sekarang saya tunggu untuk lesen B, kalau ada kekosongan saya akan teruskan kepada kejurulatihan, itu sasaran saya,” katanya kepada pemberita. 

Pada 3 Jan lepas, Mat Yo dilaporkan secara rasmi menjadi milik Harini FT selepas kelab berkenaan memaklumkan kemasukannya menerusi akaun rasmi Instagram.

Pemain kelahiran Besut, Terengganu itu sebelum ini beraksi bersama Melaka United FC dan sempat membuat 15 penampilan dalam kesemua pertandingan.

— BERNAMA

Baca juga : Menang 1-0 ke atas Thailand masih tidak cukup, kata Kim Pan Gon