Matanglah dalam berpolitik, kata Raja Bahrin kepada Pas Terengganu

Matanglah dalam berpolitik, kata Raja Bahrin kepada Pas Terengganu

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyelar ketua penerangan Pas Kuala Terengganu Amzad Hashim yang menuduh beliau dan pimpinan Amanah lain mencari publisiti atas isu-isu yang berlaku dalam negeri.

Ia ekoran kehadiran Raja Kamarul Bahrin ke majlis kesyukuran yang dianjurkan peniaga di stesen bas Kuala Terengganu selepas kerajaan negeri membatalkan rancangan merombak stesen bas tersebut termasuk tempat mereka berniaga.

Amzad dalam facebooknya pada 14 Julai lalu memuat naik gambar Raja Kamarul Bahrin memotong kek bersama Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abdul Rahman dan menulis komen seolah-olah Raja Kamarul Bahrin hadir untuk menumpang publisiti atas isu rakyat.

“Kami bukan mencari nama atau publisiti hadir di majlis itu tetapi dijemput oleh peniaga-peniaga. Kami bukan pandai-pandai meluru ke depan untuk acara memotong kek, yang kami sendiri tidak bersedia, tetapi kami dipanggil untuk berbuat demikian.

Sendaan di facebook“Saya mohon pihak berkenaan yang berhasrat ingin menjadi wakil rakyat suatu hari untuk berfikir dengan lebih matang demi kepentingan rakyat dan bukan senantiasa berpolitik sahaja sepanjang masa,” katanya yang juga ahli parlimen Kuala Terengganu.

Beliau kesal terhadap sikap pemimpin Pas yang masih gemar menyerang sesama sendiri walaupun timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah mencadangkan gencatan serangan sesama pembangkang.

“Belum hilang lagi gema seruan timbalan presiden Pas untuk gencatan senjata di antara pembangkang, Ketua Penerangan Pas Kuala Terengganu telah membuat kenyataan menyerang Amanah .

“Ini sangat menghairankan ramai pihak kerana Pas selama ini mendakwa mereka parti yang sangat berdisiplin dan nampak gayanya ketua penerangan tidak mengambil berat kenyataan timbalan presiden sendiri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan Pas agar mendahulukan kepentingan rakyat dan mengenepikan fahaman politik sempit.

“Saya berpendapat pandangan Tuan Ibrahim ada keikhlasannya. Sepatutnya anak buahnya sendiri dalam Pas juga menghormati pandangan dan seruannya dan jangan hanya hendak berpolitik sehingga nasib rakyat terbiar,” katanya lagi.

TAGS