Seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat mati lemas akibat ditekup disyaki dengan menggunakan bantal oleh kekasih yang berusia 24 tahun.
Dia disyaki dibunuh lelaki tidak bekerja itu selepas dikatakan berlaku perselisihan faham di rumah kekasihnya itu di Kampung Idaman, Pandamaran pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.40 pagi berhubung penemuan seorang remaja perempuan dalam keadaan tidak sedarkan diri di halaman rumah itu.
“Pada jam 2 pagi semalam, suspek dipercayai membawa mangsa ke bilik di rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai menyebabkan kematian mangsa.
“Siasatan juga mendapati, suspek mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah itu.
“Kemudian suspek meminta bantuan daripada ahli keluarganya. Ahli keluarga menelefon polis memaklumkan mengenai kejadian itu dan kematian mangsa disahkan oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, hari ini.
Lapor BH, Hoong Fong berkata, hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa mendapati terdapat beberapa kesan calar dan lebam di muka serta leher.
“Bedah siasat yang dijalankan pula mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas katanya.
Mangsa adalah seorang perempuan berumur 16 tahun yang juga pelajar sekolah di Lembah Klang manakala suspek yang berusia 24 tahun tidak bekerja.
“Suspek berkenalan dengan mangsa selama setahun dan hubungan mereka diketahui keluarga malah suspek sudah beberapa kali membawa mangsa ke rumah itu.
“Bagaimanapun ketika kejadian, ibu bapa serta abang suspek sedang tidur dan mereka tidak mendengar bunyi bising, hanya dikejutkan oleh suspek selepas kejadian itu,” jelasnya.
Suspek yang tiada rekod lampau kini ditahan reman hingga 3 Julai depan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta untuk menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.