Matlamat perpaduan perompak Islam Melayu bantu penjahat, tanam kebencian

Matlamat perpaduan perompak Islam Melayu bantu penjahat, tanam kebencian

Matlamat kerajaan pintu belakang, Perikatan Nasional (PN) perlu ditolak kerana asas perpaduan gabungan kem dan parti itu dilihat membantu anasir buruk.

Tanpa menyebutkan mana-mana parti secara terperinci, Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad menyifatkan tuntutan ‘persatuan perompak Islam Melayu’ agar rakyat memberi sokongan tidak harus diterima.

“Ayat 2 Surah Al-Maidah jelas maksudnya (Kerjasama atas kebaikan dan ketaqwaan dan bukan atas kejahatan dan adu-domba).

“Asas dan tujuan perpaduan adalah penting. Kalau untuk kebaikan disokong, walaupun dengan bukan Islam.

“Kalau untuk kejahatan ditentang, walaupun sesama orang Islam. Persatuan perompak Islam Melayu menuntut orang Islam sokongnya. Mana boleh!” katanya dalam laman Twitter.

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu menegaskan orang Islam mesti bersatu membantu usaha ke arah kebaikan seperti menentang rasuah dan perkauman.

“Kena tolak kerana asas dan matlamat perpaduan ini (PN) membantu penjahat dan menanam kebencian,” ujarnya.

Sehubungan itu, Khalid menyeru usah menjaja dan menjual nama Islam ketika ingin “membela penyamun dan menanam kebencian perkauman dan agama.”

Tambah Ahli Parlimen Shah Alam itu, hal tersebut adalah bercanggah dengan ajaran Islam.