Matrade gesa usahawan belia manfaatkan peluang dalam perdagangan antarabangsa

Matrade gesa usahawan belia manfaatkan peluang dalam perdagangan antarabangsa

Golongan belia Malaysia perlu mengikuti perkembangan terkini dalam eksport dan menjadikan perdagangan antarabangsa sebagai agenda utama mereka berikutan banyak usahawan yang berjaya masih menumpukan kepada perniagaan domestik.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) Dr Mohd Shahreen Zainoreen Madros berkata sebagai organisasi promosi perdagangan negara, ia akan memudahkan mereka untuk pergi ke peringkat global melalui program promosi eksport dan pembangunan pengeksportnya.

“Dengan platform digital, perniagaan milik golongan belia boleh menikmati akses pasaran yang lebih besar dan mengembangkan operasi mereka ke luar negara,” katanya dalam kenyataan.

Dalam usaha ke arah meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia mengenai perdagangan antarabangsa, Matrade hari ini menganjurkan Hari Eksport Belia 2018, yang dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Acara utama ialah segmen “University Product Invention”, yang mempamerkan penyelidikan dan inovasi terkini oleh pelajar-pelajar universiti.

Antara universiti yang mengambil bahagian dalam sesi itu ialah Universiti Utara Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Pahang dan Universiti Teknologi Malaysia.

Segmen itu diperkenalkan untuk menggalakkan pengkomersialan inovasi produk dalam kalangan universiti, supaya mereka juga, boleh menjadi sebahagian daripada komuniti pengeksport.

“ASEAN mempunyai jumlah penduduk yang tinggi dan muda serta kuasa pengguna yang kukuh. Lebih 70 peratus daripada penduduk ASEAN hari ini, terdiri daripada mereka yang berumur di bawah 45 tahun dan memainkan peranan yang besar dalam tenaga kerja negara, selain daripada memacu ekonomi.

“Acara itu juga tepat pada masanya berikutan terdapat budaya keusahawanan yang tinggi dalam kalangan belia Malaysia,” kata Mohd Shahreen.

— BERNAMA