Malaysia Dateline

Matrade pergiat promosi di Chile, Argentina dan Brazil

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) akan menyertai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking dan agensi lain di bawah kementerian itu pada misi perdagangan dan pelaburan di Chile, Argentina dan Brazil, mulai 20 hingga 24 Mei.

Dalam kenyataan pada Ahad, Matrade berkata lapan syarikat Malaysia mewakili industri pertanian, elektrik dan elektronik (E&E), teknologi maklumat dan telekomunikasi, automotif serta perkhidmatan juga akan menyertai misi itu yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang keupayaan Malaysia dalam pelbagai sektor.

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata syarikat Malaysia bakal mendapat manfaat daripada platform perkongsian perdagangan dua hala stretagik yang telah dijalin dengan tiga negara berkenaan.

“Misi ini akan meningkatkan kerelevanan Malaysia dalam pasaran berkenaan dan menyokong usaha pengeksport Malaysia untuk aktif mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka.

“Pertapakan pengeksport negara kita di Chile, Argentina dan Brazil juga akan membuka peluang kepada mereka untuk mengeksploitasi pasaran Amerika Latin yang lebih besar,” katanya.

Chile, Argentina dan Brazil antara rakan dagangan terbesar Malaysia di Amerika Latin dengan Brazil merupakan yang terbesar.

Jumlah dagangan dengan Chile pada 2018 berjumlah RM1.32 bilion (US$0.33 bilion), mencatatkan peningkatan 150 peratus daripada nilai dagangan pada 2009.

Eksport Malaysia ke Chile pula berkembang sebanyak 352.17 peratus dalam tempoh sama untuk mencecah RM0.81 bilion (US$0.20 bilion) pada 2018.

Eksport utama ke Chile terdiri daripada bahan kimia dan produk kimia, produk getah, produk kayu manakala import utama daripada Chile merupakan bijih metalliferous dan logam lusuh, makanan laut segar, sejuk atau beku, produk kertas dan pulpa.

Bagi Argentina, perdagangan Malaysia dengan negara itu berkembang lebih 178.66 peratus dalam tempoh 10 tahun dengan jumlah dagangan pada 2018 adalah RM5.39 bilion (US$1.34 bilion) berbanding RM2.66 bilion (US$0.75 bilion) pada 2009. Eksport sahaja meningkat sebanyak 123.91 peratus kepada RM3.6 bilion dalam tempoh itu, terutamanya disumbangkan oleh produk getah, produk E&E, produk petroleum, manakala import utama dari Argentina adalah makanan haiwan, kulit dan barang kulit, bijirin dan minyak sayuran lain.

Sementara itu, perdagangan antara Malaysia dan Brazil meningkat lebih 208 peratus dalam tempoh 10 tahun dengan jumlah perdagangan pada 2018 adalah RM11.57 bilion (US$2.87 bilion) berbanding RM5.54 bilion (US$1.58 bilion) pada 2009. Eksport ke Brazil meningkat 162.50 peratus kepada RM3.6 bilion dalam tempoh itu, terutamanya disumbangkan oleh produk E&E, produk getah serta bahan kimia dan produk kimia, manakala import utama dari negara itu adalah bijih metalliferous, makanan proses dan produk petroleum.- BERNAMA