Matrade rancang 150 program luar negara bantu PKS

Matrade rancang 150 program luar negara bantu PKS

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) telah merancang 150 program tahun ini bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menembusi pasaran eksport, sekaligus menerima manfaat daripada Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata daripada jumlah itu, 85 program adalah program promosi perdagangan dan 65 program merupakan program pembangunan pengeksport.

“Rancangan program Matrade ini akan memberi tumpuan kepada aspek pembangunan kapasiti eksport terutamanya dalam pembangunan PKS, memanfaatkan platform e-dagang dan mensasarkan sektor bernilai tinggi termasuklah minyak dan gas, aero-angkasa, maritim dan perubatan,” katanya menjawab pertanyaan Charles Anthony Santiago (DAP-Klang) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Charles bertanya mengenai langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memberikan persediaan kepada PKS supaya mendapat manfaat dari TPPA.

Mustapa berkata tumpuan pembangunan kapasiti eksport akan turut diberikan kepada PKS di dalam sektor elektrik dan elektronik, pembinaan dan perkhidmatan sosial.

Katanya program berimpak tinggi juga akan terus dilaksanakan oleh Matrade bagi membantu PKS lebih bersedia menghadapi TPPA antaranya Program Going Export dan Best Export, program pembangunan eksport khusus untuk Bumiputera, wanita dan belia serta eTrade.

Selain itu, katanya Matrade turut bekerjasama dengan agensi seperti SME Bank, Exim Bank, SME Corporation Malaysia dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) bagi membantu pengeksport dari segi sokongan kewangan dan pembangunan,

“PKS Bumiputera juga akan dibantu untuk memasarkan produk mereka di peringkat antarabangsa melalui 46 pejabat Matrade di luar negara,” tambahnya.

CATEGORIES