Matrade sasar RM3.8 bilion hasil eksport oleh MTC

Matrade sasar RM3.8 bilion hasil eksport oleh MTC

Perbadanan Permbangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menyasarkan untuk meningkatkan hasil eksport yang direkodkan oleh 152 syarikat pertengahan (MTC) yang menyertai program pembangunan syarikat peringkat pertengahan (MTCDP) kepada RM3.8 bilion menjelang 2020 berbanding RM2.5 bilion pada 2017.

Timbalan ketua pegawai eksekutifnya Sharimahton Mat Saleh berkata agensi penggalakkan eksport itu akan memantau 300 peserta untuk mencapai sasaran peningkatan pendapatan eksport tersebut.

“Kini 60 peserta Gelombang 4 dan Lima MTCDP lulus selepas tamat mengikuti program sembilan bulan, menjadikan jumlah lulusan kepada 212 peserta,” katanya kepada pemberita di luar acara majlis graduasi program pembangunan syarikat pertengahan Gelombang 4 dan Lima, di sini hari ini.

MTC menyumbang 30 peratus kepada jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dan mengaji lebih 22 peratus tenaga kerja Malaysia.

Bagaimanapun, hanya terdapat kira-kira 10,000 MTC di negara ini atau hanya satu peratus yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sharimahton berkata peranan MTC dalam memacu perdagangan Malaysia sangat besar dan selalunya tidak menonjol, justeru, program itu bertujuan untuk sampai kepada syarikat ini bagi membantu mereka dalam meneroka pasaran baharu.

“Itu sebabnya kami berharap lebih banyak syarikat memohon program ini,” katanya.

Di Malaysia, MTC membabitkan syarikat yang pendapatan tahunan sekurang-kurangnya RM50 juta dalam sektor perkilangan, manakala bagi perkhidmatan, pendapatan minimum ialah RM20 juta.

Melalui MTCDP, Matrade akan menilai setiap cabaran syarikat dalam mengembangkan pasaran eksport mereka dan menyesuaikan siri program pembangunan untuk membantu mereka mengatasi cabaran.

Sementara itu, peserta Gelombang 4 MTCDP, Autokeen Sdn Bhd, yang terlibat dalam pembuatan bahagian auto, menjangkakan pendapatan eksportnya akan meningkat 10 peratus berikutan pengembangnya ke Sudan.

Pengarah Urusannya Asyraf Abdul Rahman berkata menerusi penglibatannya dalam program itu, syarikat itu sedang mencari peluang untuk memasuki pasaran Jerman dan Singapura.

“Kadar tukaran mata wang yang menggalakkan menjadikan produk kami lebih menarik berbanding pesaing,” katanya

— BERNAMA